Aktiviti tambak, buang sisa binaan di Pontian: Tiga siasatan dibuka

PONTIAN - Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka berhubung aktiviti penambakan dan pembuangan sisa binaan dipercayai dari Singapura yang dikesan di beberapa kawasan daerah ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan itu membabitkan siasatan terhadap pemilik tanah dan pihak syarikat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan.
Menurutnya, dua pemilik tanah dikenal pasti dan kedua-duanya merupakan warga tempatan.
“Di peringkat Pejabat Tanah Daerah, kita akan arahkan supaya pemilik tanah dipanggil untuk siasatan bagi mengetahui sebenarnya apa yang berlaku.
“Setakat ini hanya satu syarikat dikenal pasti terlibat dalam aktiviti berkenaan, manakala siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada kegiatan itu mempunyai kelulusan sah atau sebaliknya.
"Baki lagi lapan syarikat disyaki melakukan aktiviti sama masih dalam siasatan,” katanya selepas tinjauan di Kampung Sungai Senai, Belokok di sini pada Rabu.
Pada Selasa, lebih lima lokasi yang dikenal pasti menjalankan aktiviti penambakan dan pembuangan sisa binaan dipercayai dari Singapura di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup di sini, diarahkan menghentikan aktiviti serta-merta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Md Israk Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan di Pejabat Daerah Pontian susulan aduan berkaitan aktiviti penambakan sisa di lokasi berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Jafni menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengambil tindakan termasuk mengarahkan aktiviti berkenaan dihentikan setelah pihak terlibat gagal mengemukakan kelulusan kerja tanah.
“Kerja akan terus ditahan dan mereka tidak boleh melakukan apa-apa kerja sehingga kelulusan di peringkat PBT diluluskan.
“Sepatutnya jika kerja dibuat mengikut kebenaran, perlu ada papan tanda dan maklumat mengenai kerja yang dijalankan di kawasan berkenaan. Bagaimanapun dalam kes ini, tiada sebarang permohonan diterima oleh PBT,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan penguatkuasaan secara bersepadu akan diteruskan dengan membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, Pejabat Tanah Daerah, PBT, SWCorp dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bergantung kepada jenis kesalahan yang dikesan.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, treler yang membawa sisa binaan dari Singapura menggunakan laluan Pekan Nanas- Tanjung Piai, sejak dua tahun lalu, didakwa menyebabkan rumah penduduk retak serta mengundang risiko kemalangan kepada penunggang motosikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

