Juruterbang bawa dadah: Kerajaan bentang pelan penambahbaikan keselamatan lapangan terbang

Saifuddin Nasution (dua dari kanan) bersama Mohd Yusoff (kanan) bertanyakan khabar pada Fatimah Syaera (kiri) semasa mengadakan lawatan ke rumahnya di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kota Bharu pada Rabu.
Saifuddin Nasution (dua dari kanan) bersama Mohd Yusoff (kanan) bertanyakan khabar pada Fatimah Syaera (kiri) semasa mengadakan lawatan ke rumahnya di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan akan membentangkan pelan penambahbaikan komprehensif kawalan keselamatan lapangan terbang kepada Jemaah Menteri minggu depan susulan insiden penahanan seorang juruterbang Malaysia selepas penemuan dadah di Indonesia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan berkenaan akan memberi tumpuan kepada penyelarasan antara agensi, latihan, infrastruktur serta logistik bagi memastikan kawalan keselamatan di lapangan terbang negara diperkemaskan.

Menurut beliau, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu selepas kerajaan memandang serius insiden berkenaan yang turut memberi implikasi terhadap reputasi keselamatan negara.

"Semua agensi kawal selia yang terlibat, kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan serta agensi kawal selia termasuk AKPS (Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia), Aviation Security, MAB (Malaysia Airport Berhad) dan CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) mesti duduk dan mengemukakan satu pelan penambahbaikan komprehensif mengenai keselamatan lapangan terbang.

"Semalam mereka telah mengadakan mesyuarat dan saya diberi faham pada mesyuarat kabinet minggu depan, satu kertas akan dibentangkan mengenai pelan penambahbaikan kawalan keselamatan di lapangan terbang," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu, beliau bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengadakan lawatan ke rumah balu Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang terkena renjatan elektrik iaitu Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, serta anak mereka, Hariz Idraqi, 2, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini.

Terdahulu juruterbang warga Malaysia ditahan kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah, termasuk lebih 70,000 pil ekstasi sekitar 25 kilogram ke Indonesia.

Suspek berusia 39 tahun itu dilaporkan menerbangkan pesawat Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan pada Rabu, 29 Julai, di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Menurut Saifuddin Nasution, penambahbaikan itu bukan hanya membabitkan aspek teknologi atau peralatan, sebaliknya turut melihat semula standard latihan individu yang mengendalikan dan memantau sistem keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah sistem mesin imbas serta pihak yang mengendalikannya.

"Paling penting lapangan terbang ialah mesin imbas. Kemudian pihak yang mengendalikan mesin imbas.

"Mesin imbas di lapangan terbang dikendalikan oleh Aviation Security dan mereka mengikut standard ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa)," katanya.

Menurut beliau, standard pemeriksaan berkenaan memberi penekanan kepada ancaman keselamatan seperti bom, senjata tajam dan pistol, namun aspek pengesanan barangan terlarang atau kontraban perlu diselaraskan semula antara agensi berkaitan.

"Kalau pada skrin itu terpapar kontraban, walaupun dikesan pada mesin imbas, tetapi kerana standard pemeriksaan itu bukan dari segi risikan keselamatan biasa yang dikendalikan polis atau AKPS, jadi kita perlu selaraskan balik dari segi aspek-aspek berkenaan.

"Saya percaya hal itu sedang diusahakan dan dalam masa seminggu dua sekarang, kita akan bentangkan kepada Jemaah Menteri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!