[VIDEO] Baung ekor merah gergasi 31kg tewas

HULU SELANGOR - Saiz luar biasa seekor ikan asing invasif, iaitu baung ekor merah seberat 31 kilogram (kg), berjaya didaratkan di Sungai Karang di sini.
Tangkapan itu direkodkan menerusi Program Mitigasi Ikan Baung Ekor Merah yang dilaksanakan Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Selangor dengan kerjasama MyKomuniti Perikanan Sungai Karang bermula Isnin.
Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Ahmad Redzuan Ramli berkata, sehingga Selasa, program tersebut merekodkan 16 ekor baung ekor merah dengan berat keseluruhan 142kg dan saiz paling kecil sekitar 400 gram.
Menurutnya, jumlah tangkapan yang tinggi dalam tempoh singkat ini memberikan petunjuk bahawa kewujudan ikan asing di kawasan ini perlu diberi perhatian dan tindakan mitigasi secara berterusan.
"Bila kita lihat saiz baung ekor merah sebesar 31kg, ia sesuatu yang mengejutkan apabila spesies besar ini berada di perairan kita.
"Sudah pasti saiz besar ini merupakan ancaman kepada ikan tempatan seperti lampam sungai, tapah, tengalan dan baung tempatan," katanya kepada pemberita di Ibu Empangan Sungai Bernam di sini pada Selasa.
Beliau berkata, DOF telah melaksanakan pelbagai usaha berkaitan isu ikan asing termasuk program kesedaran kepada komuniti serta inventori sumber perikanan darat bagi mengenal pasti kewujudan dan taburan spesies ikan asing.
Katanya, data yang diperoleh melalui program-program ini akan membantu jabatan dalam merancang tindakan pemantauan serta mitigasi yang lebih bersasar.
"Usaha menangani ikan asing bukan hanya tanggungjawab DOF, tetapi kerjasama komuniti khususnya nelayan dan pemancing amat penting kerana mereka merupakan antara pihak paling dekat dengan perairan.
"Sekali gus, membantu jabatan mengenal pasti kewujudan serta perkembangan spesies ikan asing," ujarnya.
Dalam program tersebut, DOF Selangor turut melepaskan 20,000 benih baung kuning, iaitu spesies tempatan, sebagai langkah memulihara ekosistem perairan umum, meningkatkan stok populasi hidupan air yang kian pupus serta menjamin sosioekonomi nelayan darat.
Dalam pada itu, Ahmad Redzuan berkata, Sungai Karang antara lokasi yang terjejas akibat ancaman ikan asing selain sungai di Bestari Jaya serta Sungai Damansara.
Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak melepaskan ikan asing ke dalam sungai, tasik, empangan dan perairan umum.
"Tindakan melepaskan ikan asing memberi kesan jangka panjang terhadap spesies ikan asli dan keseimbangan ekosistem," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
