ISC Global jadi jambatan baharu Malaysia-Asia Barat

PETALING JAYA - Hubungan Malaysia dengan negara-negara Asia Barat terus berkembang menerusi pengukuhan kerjasama perdagangan dan pelaburan, terutama dalam sektor strategik yang berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembukaan ibu pejabat baharu Kumpulan ISC Global di Malaysia mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap prospek negara sebagai hab perniagaan dan pelaburan strategik di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, dalam konteks hubungan Malaysia dan dunia Arab yang semakin berkembang, penubuhan operasi ISC Global Malaysia di negara ini turut dilihat mampu membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama dalam sektor kejuruteraan, infrastruktur, hartanah, pengurusan projek, teknologi dan pembangunan mampan.
"Hubungan ekonomi antara Malaysia dan negara-negara Arab mempunyai prospek yang besar untuk terus diperkasakan melalui kerjasama sektor swasta, khususnya dalam bidang yang mempunyai nilai tambah tinggi serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara.
"Kehadiran pemain antarabangsa di Malaysia membuktikan negara terus mempunyai daya tarikan sebagai hab serantau, bukan sahaja dari aspek kedudukan geografi, malah melalui kestabilan ekosistem perniagaan, tenaga kerja berkemahiran dan keupayaan industri tempatan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian pejabat baharu ISC Group Malaysia, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, operasi ISC Global Malaysia dijangka memberi manfaat kepada ekosistem tempatan melalui penglibatan syarikat-syarikat Malaysia, peluang pembangunan modal insan serta pendedahan kepada amalan pengurusan projek dan kejuruteraan berstandard antarabangsa.
ISC Malaysia dalam kenyataaanya berkata, ia juga boleh menjadi platform kepada pemain industri tempatan untuk membina jaringan baharu dengan rakan kongsi perniagaan dari Asia Barat, sekali gus memperluaskan peluang syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.
"Pembukaan ibu pejabat ISC Global Malaysia ini hadir pada masa yang amat signifikan ketika Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi dan perniagaan ASEAN, manakala negara-negara Arab pula sedang giat melaksanakan agenda transformasi dan kepelbagaian ekonomi.
"Keserasian antara kedua-dua agenda pembangunan tersebut mewujudkan ruang yang luas untuk kerjasama dalam bidang baharu, termasuk teknologi, infrastruktur moden, pembangunan bandar, hartanah, tenaga, kelestarian serta penyelesaian kejuruteraan," katanya.
Justeru, ISC Global Malaysia diyakini mampu memainkan peranan sebagai salah satu penghubung baharu antara Malaysia dan dunia Arab, khususnya dalam membentuk jaringan perniagaan yang lebih kukuh dan mengenal pasti peluang kerjasama yang mampu memberikan manfaat bersama.
"Lebih penting, kehadiran syarikat antarabangsa seperti Kumpulan ISC Global memperlihatkan bahawa Malaysia bukan sekadar destinasi untuk menjalankan perniagaan, tetapi berpeluang menjadi pusat operasi, inovasi dan pengurusan projek bagi pasaran serantau," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
