Lelaki maut, kereta bawa guni beras terbabas dalam parit

TANAH MERAH – Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Wira yang dipandu membawa guni beras terbabas dan terbalik ke dalam parit di Jalan Raya Timur Barat, Kampung Batu 9, Batang Merbau di sini pada Isnin.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang, Pegawai Bomba Kanan I Mat Nuri Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu menerusi NG999 pada jam 11.44 malam.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.50 malam dan mendapati sebuah Proton Wira terbabas sebelum terbalik ke dalam parit.
“Seorang lelaki Melayu berusia 39 tahun yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan didapati tersepit di bahagian pemandu.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas pemotong hidrulik untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mat Nuri berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, operasi yang turut melibatkan lima anggota itu tamat sepenuhnya pada jam 12.28 tengah malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

