Ahmad Zahid ajak rakyat doakan kesembuhan untuk Anwar

Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor (kanan) pada majlis pelancaran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) di Kampung Air Banun pada Isnin. Foto Bernama
Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor (kanan) pada majlis pelancaran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) di Kampung Air Banun pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

GERIK - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan kesembuhan segera buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang berehat selepas menjalani prosedur pembedahan kecil.

Ahmad Zahid berkata, beliau dimaklumkan oleh Anwar mengenai prosedur rawatan tersebut pada Selasa lepas dan yakin Perdana Menteri hanya memerlukan tempoh rehat yang singkat sebelum kembali bertugas.

"Kita sama-sama doakan agar kesembuhan dapat memberikan keselesaan kepada beliau untuk terus bertugas demi negara dan rakyat keseluruhannya.

"Walau sekecil mana pun (pembedahan), beliau memerlukan downtime sekurang-kurangnya dua hari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026-2035 di Kampung Air Banun di sini pada Isnin.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau telah diminta oleh Anwar untuk mempengerusikan Mesyuarat Kabinet sepanjang tempoh ketiadaan Perdana Menteri.

Terdahulu, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia) pada Isnin.

Beliau berkata, prosedur berkenaan berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan dan Anwar kini sedang menjalani rawatan fisioterapi.

"Beliau kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik," katanya. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!