Iran lantik Mohsen Rezaei, AS perlu waspada

Mohsen Rezaei dikatakan lebih lantang berbanding pendahulunya, Mohammad Baqer Zolqadr. Foto Agensi
Mohsen Rezaei dikatakan lebih lantang berbanding pendahulunya, Mohammad Baqer Zolqadr. Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN - Iran melantik bekas komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mohsen Rezaei sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi (SNSC), sekali gus membawa seorang tokoh berpengaruh dan berpengalaman dalam bidang ketenteraan ke badan yang menentukan hala tuju keselamatan serta dasar luar negara itu.

Pelantikan itu diumumkan pada lewat Ahad oleh Timbalan Pengarah Komunikasi Presiden Masoud Pezeshkian.

Rezaei, 71, dilihat sebagai tokoh disegani yang lebih lantang berbanding pendahulunya, Mohammad Baqer Zolqadr.

Zolqadr memegang peranan itu sejak akhir Mac lalu selepas pendahulunya, Ali Larijani gugur syahid dalam serangan udara ketika fasa awal konflik antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Sebelum ini, Zolqadr pernah mengemukakan tuntutan tegas Teheran termasuk mendesak AS menghentikan ancaman dan serangan terhadap Iran serta sekutunya selain menarik balik sekatan dan membebaskan aset Iran.

Pelantikan Rezaei memberi isyarat penting kepada Washington bahawa ia sedang memperkukuh barisan keselamatan susulan pengalaman luasnya sebagai veteran Perang Iran-Iraq dan pengaruhnya dalam hal ehwal keselamatan negara.

Tiada sebab terperinci diberikan berhubung pertukaran tersebut dan masih belum jelas sama ada pelantikan Rezaei akan membawa perubahan terhadap dasar Teheran.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi memaklumkan rundingan bersama Oman mengenai laluan perkapalan baharu melalui Selat Hormuz 'hampir mencapai persetujuan'. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!