PDRM nafi hantaran tular papar visual, teks kaitkan pemangku Timbalan Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan hantaran tular di Facebook memaparkan visual serta teks seolah-olah pemangku Timbalan Ketua Polis Negara telah mengadakan sidang media khas di Bukit Aman berkaitan pelaksanaan operasi oleh agensi keselamatan itu.
Setiausaha PDRM, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali menegaskan bahawa hantaran tersebut adalah palsu.
Menurutnya, pemangku Timbalan Ketua Polis Negara tidak pernah mengadakan sidang media atau mengeluarkan sebarang kenyataan sebagaimana yang digambarkan dan dinyatakan dalam hantaran berkenaan.
"Kandungan yang disebarkan telah menggunakan imej dan identiti palsu serta kedudukan pemangku Timbalan Ketua Polis Negara bagi mewujudkan gambaran seolah-olah kenyataan tersebut merupakan pendirian rasmi PDRM.
"Perbuatan sedemikian berpotensi mengelirukan masyarakat, mencetuskan salah faham serta menjejaskan kredebiliti individu dan institusi PDRM," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, sehubungan itu PDRM telah membuat satu laporan polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan kandungan berkenaan, termasuk meneliti motif serta tujuan di sebalik penyebarannya," ujarnya.
Tambahnya, PDRM memandang serius sebarang tindakan menghasilkan, memanipulasi atau menyebarkan kandungan palsu dengan menggunakan identiti, imej atau kedudukan mana-mana pegawai dan anggota pasukan bagi memberikan gambaran bahawa suatu kenyataan atau tindakan tersebut adalah rasmi.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat yang belum ditentukan kesahihannya serta mendapatkan pengesahan melalui saluran rasmi PDRM dan sumber berita yang sahih," ujarnya.
Tegasnya, PDRM turut menyeru masyarakat agar menjadi pengguna media sosial bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam penyebaran kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan ketenteraman awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
