‘Pembuli siber fitnah produk saya ancam kesihatan awam’ - Usahawan produk kecantikan

KUALA LUMPUR - Seorang usahawan produk kecantikan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil supaya melakukan siasatan terhadap sekumpulan individu yang aktif menggerakkan perbuatan buli siber.
S Sailajah berkata, dia antara mangsa yang masih menjadi sasaran fitnah jenayah, buli siber dan penyebaran maklumat palsu di pelbagai platform media sosial sejak tahun lalu.
Menurut wanita tersebut, pembuli dipercayai lama menyimpan dendam terhadapnya sehinggakan sanggup melemparkan fitnah di TikTok kononnya beliau memperdaya pelanggan.
“Pada Oktober 2024, pelaku wanita ini sertai kelas saya secara dalam talian. Kemudian Februari tahun lepas, individu sama minta kerja sebagai pembantu peribadi tapi permohonan tidak berjaya.
“Tiba-tiba selepas itu dia muat naik video di TikTok miliknya tuduh saya seorang ‘scammer’ dan jual produk kesihatan ‘over claim’.
“Dia fitnah produk saya punca pelanggan kena kencing manis, kegagalan buah pinggang dan banyak lagi sedangkan tak pernah ada aduan pun daripada pembeli ke atas saya selama 12 tahun berniaga,” katanya.
Sailajah beranggapan perkara tersebut boleh dibiarkan begitu sahaja, namun sangkaannya meleset apabila pembuli bertindak agresif dengan menuduh dirinya sebagai ancaman kepada kesihatan awam.
Beliau mendakwa, pelaku sering bertukar ganti nama media sosial meskipun akaunnya pernah beberapa kali digantung pengendali TikTok.
Tidak cuma itu, pembuli berkenaan pernah disabitkan di mahkamah atas kesalahan membuli dalam talian dan mengasari orang awam secara fizikal, namun masih tidak serik.
“Bermula daripada tuduhan ‘scammer’ melarat pula kepada fitnah saya jual barang tipu.
“Kemudian serang hal peribadi saya dan keluarga. Semasa bercuti pun dia tangkap layar gambar saya pakai bikini dan muat naik di TikTok ajak orang ramai kutuk saya.
“Dituduhnya saya ‘call girl’. Fitnah begini sangat mengganggu kesihatan mental saya dan keluarga termasuk menjejaskan reputasi perniagaan serta nama baik,” ujarnya.
Wanita berusia 39 tahun itu percaya gerakan kempen buli siber sedemikian bukan dibuat oleh seorang sahaja, tetapi ramai individu di sebaliknya.
Beliau juga mengakui pernah terdengar pelaku ‘terlepas cakap’ ketika sesi penstriman langsung TikTok dengan mengatakan dirinya ditaja seseorang dengan bayaran mencecah angka puluhan ribu ringgit, namun tidak memperincikan tentang perkara terbabit.
“Kalau pemilik akaun media sosial ‘fake’ lain, tapi pembuli ini guna identiti sebenar dan selamba sebar fitnah kononnya merasakan itu tanggungjawab sosial.
“Kalau ada bukti tunjuk, jangan pandai tuduh sahaja!
“Tak faham kenapa kerajaan tak nak ambil tindakan sedangkan saya sudah 10 bulan merana disebabkan mulut jahat pembuli siber. Bukan saya sahaja, sebenarnya ramai lagi mangsa,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

