Anwar beri bayangan berita baik buat ATM, PDRM pada sambutan ambang merdeka

MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bakal ada pengumuman melegakan buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk aspek kebajikan serta proses kenaikan pangkat pegawai pada sambutan ambang merdeka 30 Ogos ini.
Beliau berkata, kerajaan pada prinsipnya bersetuju untuk mempermudah serta mempercepatkan proses kenaikan pangkat khususnya membabitkan pegawai ATM dan PDRM supaya hampir selari dengan perkhidmatan awam lain.
Menurutnya, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat, kemungkinan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam atau sempena sambutan ambang merdeka di Stadium Merdeka pada 30 Ogos ini.
"Saya telah minta supaya Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang mengetuai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meneliti.
"Kita telah setuju pada prinsipnya supaya kenaikan pangkat terutama pegawai di ATM dan PDRM dipermudah dan dipercepatkan supaya hampir selari dengan perkhidmatan awam yang lain.
"Ini akan saya umumkan pada masa terdekat umpamanya dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam bulan depan atau mungkin sempena ambang merdeka," katanya berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Serbaguna Kem Terendak di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian serius terhadap kebajikan anggota tentera termasuk aspek gaji, elaun dan perumahan.
Beliau berkata, peningkatan gaji anggota tentera sebanyak 35 peratus merupakan antara yang tertinggi dalam sejarah, selain peruntukan bagi membaiki perumahan anggota turut dipertingkatkan.
"Apakah cukup? Belum. Kalau keadaan mengizinkan, dalam belanjawan Oktober nanti, saya akan tambah kadarnya untuk penambahbaikan.
"Saya bukan datang untuk memberikan janji. Saya datang untuk menyatakan perkara yang telah dilakukan," katanya.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memastikan kebajikan anggota keselamatan diberi perhatian sewajarnya kerana golongan berkenaan memainkan peranan penting dalam mempertahankan keamanan negara.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan kepada Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) melibatkan pelbagai formasi dan pasukan di Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah serta Kem Bukit Beruang dengan jumlah keseluruhan RM147,000.
Katanya, kerajaan turut bersetuju untuk meluluskan cadangan peruntukan bagi kerja-kerja senggaraan masjid dan surau di Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang dengan anggaran kos keseluruhan RM1 juta.
Inisiatif tersebut merangkumi senggaraan 22 masjid dan surau bertujuan menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa, bersih, dan selamat bagi kesejahteraan warga tentera dan komuniti setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

