Tinggal kanak-kanak dua tahun di kolam dewasa hingga lemas, amah dijel empat tahun

Wahyuni (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan pengabaian meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan di kolam renang dewasa tanpa pengawasan sehingga menyebabkan mangsa lemas. Foto: Rosli Talib.
Wahyuni (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan pengabaian meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan di kolam renang dewasa tanpa pengawasan sehingga menyebabkan mangsa lemas. Foto: Rosli Talib.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pembantu rumah warga Indonesia meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan, di kolam renang dewasa tanpa pengawasan sehingga menyebabkan mangsa lemas, mengundang padah apabila dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Wahyuni Tanjung, 44, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Suhaila Haron.

Mahkamah memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 29 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap kanak-kanak itu telah melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian mangsa, di kolam renang dewasa sebuah residensi di Sentul, antara jam 6 hingga 7 petang pada 28 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian ibu mangsa meminta tertuduh membawa kanak-kanak itu bersama abangnya yang berusia lima tahun mandi di kolam renang residensi berkenaan.

Bagaimanapun, kira-kira jam 7 malam, Wahyuni menghubungi majikannya memaklumkan mangsa lemas sebelum orang awam memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), namun disahkan meninggal dunia pada jam 4 pagi keesokan harinya.

Laporan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.

Artikel Berkaitan:

Siasatan turut mendapati tertuduh yang baru sebulan bekerja sebagai pembantu rumah, membawa kedua-dua kanak-kanak itu ke kolam renang dewasa tanpa sebarang alat bantuan renang atau pelampung.

Lebih memburukkan keadaan, dia meninggalkan kedua-dua kanak-kanak itu tanpa pengawasan apabila pergi ke bilik air, sehingga mengakibatkan tragedi yang meragut nyawa mangsa.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Md Subri Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Menurutnya, tertuduh yang diamanahkan menjaga kanak-kanak, tidak sepatutnya membiarkan mangsa bersama abangnya yang masih kecil bersendirian tanpa pemantauan.

“Mahkamah wajar mengambil kira keseriusan kesalahan ini kerana kecuaian tertuduh telah meragut nyawa seorang kanak-kanak yang sepatutnya masih mempunyai masa depan yang panjang,” katanya.

Sementara itu, Wahyuni yang tidak diwakili peguam, kelihatan sebak ketika ditunjukkan gambar laporan bedah siasat mangsa.

Dia yang juga ibu tunggal kemudian diberi peluang untuk merayu bagi mengurangkan hukuman.

“Suami saya telah meninggal dunia 14 tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun yang berada di negara asal.

“Boleh ke saya nak jalani hukuman di Indonesia,” soalnya tanpa membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman.

Suhaila kemudian memberitahu tertuduh perlu ditempatkan di penjara kerana melakukan kesalahan di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!