Mahkamah ketepi notis taksiran tambahan cukai RM313.8 juta terhadap Na'imah

Na'imah. Foto Bernama
Na'imah. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Toh Puan Na'imah Abdul Khalid berjaya membatalkan notis taksiran tambahan cukai berjumlah RM313.8 juta yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan permohonan semakan kehakimannya.

Hakim Evawani Farisyta Mohammad memutuskan LHDN telah bertindak melangkaui bidang kuasa di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 apabila mengeluarkan notis taksiran tambahan bertarikh 13 Ogos 2024 bagi Tahun Taksiran 2018.

Beliau berkata, ACP 1967 hanya terpakai kepada pendapatan yang terbit atau diperoleh di Malaysia serta pendapatan yang diterima di Malaysia dari luar negara, manakala aset yang menjadi pertikaian dalam kes itu merupakan harta milik Na'imah di luar negara dan bukannya pendapatan yang diterima di Malaysia.

"Sehubungan dengan itu, berdasarkan antara alasan-alasan yang telah dinyatakan, mahkamah dengan ini memutuskan supaya permohonan semakan kehakiman pemohon ini dibenarkan dengan kos,” katanya dalam alasan penghakiman yang dikongsikan kepada media. 

Hakim turut memutuskan notis taksiran tambahan itu adalah menyalahi undang-undang kerana ia melibatkan jumlah pemilikan saham yang sama, yang telah ditaksir sebelum ini melalui taksiran bersama Na'imah dan suaminya, Allahyarham Tun Daim Zainuddin bagi Tahun Taksiran 2018. 

Evawani Farisyta berkata, tindakan LHDN itu telah menjurus kepada cukai berganda (double taxation), yang bercanggah dengan peruntukan ACP 1967.

Beliau turut memutuskan LHDN tidak boleh menganggap nilai pasaran aset di luar negara sebagai pendapatan boleh cukai semata-mata berdasarkan pemilikan aset berkenaan kerana tiada peruntukan sedemikian di bawah akta itu.

Jika LHDN berpendapat berlaku kegagalan mengisytiharkan pendapatan ketika aset berkenaan diperoleh pada tahun 1990-an, beliau berkata, taksiran sepatutnya dibuat bagi tempoh berkenaan dan bukannya bagi Tahun Taksiran 2018.

Hakim turut menyifatkan tindakan LHDN menghendaki Na'imah mengemukakan dokumen berkaitan pemerolehan aset yang diperoleh lebih 20 tahun lepas sebagai tidak munasabah, memandangkan ACP 1967 hanya menghendaki pembayar cukai menyimpan dokumen bagi tempoh tujuh tahun.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kegagalan mengemukakan dokumen yang tidak lagi diwajibkan untuk disimpan tidak boleh dijadikan asas bagi mengeluarkan notis taksiran tambahan.

Na'imah diwakili peguam S Saravana Kumar, Nur Amira Ahmad Azhar dan Dharshini Sharma, manakala LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil, Marina Ibrahim dan Fatimah Roslan.

Dalam permohonannya, Na'imah mencabar notis taksiran tambahan yang dikeluarkan LHDN pada 13 Ogos 2024 berhubung tiga aset miliknya di luar negara yang didakwa digunakan bagi menyelesaikan pinjaman antara Ilham Baru Sdn Bhd dan Ilham Tower Sdn Bhd dengan Welberton Private Equity Corp menerusi perjanjian penyelesaian bertarikh 18 Januari 2018.

Sebelum ini, mahkamah sama pada 18 Oktober 2024 menolak permohonan Na'imah untuk penangguhan sementara perintah supaya beliau membayar RM313.82 juta tunggakan cukai pendapatan kepada LHDN.

Mahkamah itu mendapati tiada keadaan luar biasa yang mewajarkan permohonan Na'imah untuk penangguhan, dan menekankan bahawa responden (LHDN) mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan kutipan cukai di bawah ACP 1967.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 28 Oktober 2024, secara sebulat suara membenarkan permohonan wanita itu untuk penangguhan sementara perintah bayaran tersebut. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!