Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kekal utuh, stabil - Fahmi

KUALA LUMPUR - Kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan kekal utuh dan stabil meskipun terdapat perkembangan politik pada peringkat negeri, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, situasi politik pada peringkat negeri merupakan perkara yang berasingan daripada kedudukan kerajaan peringkat Persekutuan.
"Pada peringkat kerajaan keseluruhan, kita telah menandatangani perjanjian persefahaman sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan dan komitmen daripada rakan-rakan gabungan juga sangat jelas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi meja bulat sempena pelancaran laporan Mobile Economy Asia Pacific 2026 di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persoalan berhubung kestabilan Kerajaan Perpaduan, susulan perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan.
Fahmi berkata, kerajaan tidak melihat sebarang keadaan yang boleh menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan ketika ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
