Jururawat dakwa diugut bunuh bekas teman lelaki, jika putus hubungan

Mangsa yang dikenali sebagai Nini dan Thow Siang menunjukkan salinan laporan polis serta foto didera selepas akhbar di Pusat Aduan Team TLK, Kota Puteri.
Mangsa yang dikenali sebagai Nini dan Thow Siang menunjukkan salinan laporan polis serta foto didera selepas akhbar di Pusat Aduan Team TLK, Kota Puteri.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang jururawat mendakwa hidup dalam ketakutan selepas diugut bekas teman lelaki yang mahu membunuhnya selain menyebarkan video intim mereka sekiranya enggan meneruskan hubungan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nini, 29, berkata, dia mengenali lelaki berusia 27 tahun itu pada awal tahun ini sebelum hubungan mereka terjalin selama kira-kira lima bulan.

Menurutnya, dia nekad memutuskan hubungan selepas mendapati bekas teman lelakinya terbabit dengan penyalahgunaan dadah selain tidak mempunyai pekerjaan.

“Selepas saya menyatakan hasrat untuk berpisah, dia mula mengugut mahu membunuh saya dan mendakwa dirinya ahli kumpulan kongsi gelap.

“Dia turut mengatakan akan membawa ahli kumpulannya untuk mengganggu saya jika saya tidak kembali bersamanya,” katanya pada sidang media di Pusat Aduan Team TLK, Kota Puteri, di sini, pada Rabu.

Nini yang bekerja di Singapura dan menetap di Larkin Idaman berkata, keadaan bertambah buruk apabila keluarga bekas teman lelakinya turut campur tangan memintanya meneruskan hubungan itu.

Dakwanya, ibu bekas teman lelakinya turut mengugut untuk menyebarkan gambar dan video intim mereka selain menghantar mesej kepada ibu bapanya.

“Video dan gambar terbabit kemudian disebarkan di media sosial menyebabkan saya semakin tertekan,” katanya.

Menurutnya, dia menerima ugutan berulang kali antara tujuh hingga 10 kali sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 9 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, laporan itu kemudian ditarik balik selepas bekas teman lelakinya hadir ke balai polis dan memadam bahan intim tersebut daripada telefon bimbitnya.

Namun, dakwanya, ugutan kembali berlaku apabila lelaki itu meminta dia meneruskan hubungan mereka sebagai syarat supaya bahan berkenaan tidak disebarkan.

“Dia mahu saya kembali menjadi teman wanitanya dan jika tidak, dia akan menyebarkan semula video serta gambar itu. Dia juga mahu menjadikan saya sebagai hamba seks,” katanya.

Nini berkata, dia sekali lagi membuat laporan polis pada 19 Julai lalu selepas bahan intim berkenaan didakwa dihantar kepada ahli keluarganya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Team TLK, Lim Thow Siang menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap laporan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan perlu diambil sekiranya terdapat bukti mencukupi bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan dan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!