Padah seludup minuman keras, alat ganti kenderaan RM4.6 juta

Jamal (tengah) menunjukkan minuman keras yang dirampas. Foto: JKDM
Jamal (tengah) menunjukkan minuman keras yang dirampas. Foto: JKDM
A
A
A

SEREMBAN – Taktik dua sindiket menggunakan lori untuk membawa keluar pelbagai barangan elektronik, alat ganti kenderaan serta minuman keras dari zon bebas bagi mengelak dikenakan duti akhirnya terbongkar.

Kegiatan itu berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum barangan dagangan yang dianggarkan bernilai RM4.6 juta berjaya dirampas.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Jamal Paiman berkata, operasi itu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan dalam dua serbuan pada awal Julai lalu membabitkan nilai cukai RM7.6 juta.

"Dalam serbuan pertama kira-kira jam 3 petang 1 Julai lalu, kami menahan dan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori jenis Isuzu di bahu jalan di kawasan Sepang, Selangor.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat sejumlah 426 kotak pelbagai jenis barang campur seperti barangan elektronik dan alat ganti kenderaan yang disyaki tidak diikrar mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai sitaan barangan tersebut bersama lori dianggarkan bernilai RM640,268, manakala duti dianggarkan bernilai RM69,873.

Alat ganti kenderaan yang dirampas. Foto: JKDM
Alat ganti kenderaan yang dirampas. Foto: JKDM

Tambahnya, seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi sindiket ialah barang campur diseludup dan dipercayai dibawa keluar dari kawasan zon bebas ke Kawasan Utama Kastam tanpa pengikraran yang betul dengan menggunakan kenderaan seperti lori bagi tujuan mengelakkan pembayaran cukai/duti yang terbabit," katanya.

Selain itu katanya, dalam serbuan kedua jam 9.30 malam hari sama, sejumlah 16,096 botol dan 568,470 tin pelbagai jenis minuman keras yang disyaki sebagai barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import ) 2023 telah dijumpai di sebuah gudang di Port Klang Free Zone, Selangor.

Jamal berkata, kesemua barangan terbabit telah disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967, manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun telah ditahan untuk siasatan.

"Jumlah keseluruhan nilai sitaan minuman keras pelbagai jenis dianggarkan RM4,02 juta manakala duti/cukai dianggarkan sebanyak RM7.5 juta.

"Modus operandi sindiket ialah minuman keras itu diimport dan disimpan dalam gudang di kawasan Zon Bebas dan dibawa keluar dari kawasan Zon Bebas ke Kawasan Utama Kastam tanpa melalui prosedur yang sah," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Butiran 30(1)(a) Peraturan Peraturan Zon Bebas 1990.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!