Lelaki mabuk ditahan ingkar PKP di Subang Bestari

Lelaki mabuk itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kampung Baru Subang untuk siasatan lanjut. -Foto ihsan MBSA
Lelaki mabuk itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kampung Baru Subang untuk siasatan lanjut. -Foto ihsan MBSA
A
A
A

SUNGAI BULOH - Bosan duduk di rumah menjadi punca seorang lelaki keluar menikmati minuman keras bersama rakan-rakannya di sebuah premis di Subang Bestari sebelum ditahan polis dalam Operasi Bersepadu Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Seksyen U5 di sini malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika memandu kereta untuk pulang ke rumahnya kira-kira jam 10.30 malam.

Lelaki itu kemudiannya dibawa ke balai polis selepas gagal memberi alasan munasabah keluar melebihi waktu yang dibenarkan selain mabuk.

Operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu turut menahan sebuah kereta yang dinaiki tiga orang individu yang mempunyai talian keluarga.

Pemandunya memberi alasan ada kes kematian keluarga namun bila disiasat kematian itu sudah sudah lama berlaku.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Deputi Superintendan Zainuddin Abdul Hamid berkata, dalam operasi berakhir jam 11.30 malam itu seramai 28 orang telah ditahan.

“Mereka yang ditahan adalah 13 warga asing manakala selebih warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kampung Baru Subang semalam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana mengingkari PKP.

Artikel Berkaitan:

“Operasi tertumpu di sekitar kawasan Subang termasuk Kampung Melayu Subang, Subang Perdana dan Subang Bestari,” katanya.

Katanya, seramai 110 anggota polis, penguat kuasa MBSA dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling terlibat dalam operasi itu.

Turut hadir pada operasi itu, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.