Bukan sekadar uji adrenalin

Taman Ekstrem Gua Damai khas untuk pencinta sukan ekstrem dan alam sekitar

A
A
A

SIAPA sangka, di sebalik hiruk-pikuk kawasan Batu Caves, Selangor, terdapat sebuah lokasi khas untuk pencinta sukan ekstrem yang gemar menguji sejauh mana adrenalin mereka.

Di situlah terletaknya Taman Ekstrem Gua Damai. Sudah pastinya, aktiviti lasak seperti mendaki dinding dan tembok yang mempunyai lebih daripada 120 laluan berlabuh dengan gred lima hingga tujuh menunggu pengunjung.

Turut ditawarkan di taman berkenaan ialah abseiling, flying fox dan paling menarik perhatian ialah aktiviti lompat payung terjun. Berdasarkan jadual, ia diadakan pada bulan September, setiap tahun.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan, Taman Ekstrem Gua Damai ini tidak hanya menggamit penduduk setempat malah pelancong antarabangsa seperti dari Amerika Syarikat, Thailand dan Korea Selatan turut teruja hadir ke taman ini.

Mengulas lanjut, Pengurus Gua Damai XPark, Mustapha Al Bakri Omar berkata, destinasi yang dikelilingi oleh gua batu kapur itu sepatutnya menjadi destinasi wajib dikunjungi dalam catatan diari masing-masing.

“Ia merupakan sebuah pusat rekreasi yang luar biasa di negeri Selangor kerana di sinilah terletaknya hub sukan ekstrem yang utama. Sebenarnya, semua aktiviti boleh dilakukan di sini kecuali sukan air,” katanya kepada Sihat Aktif baru-baru ini.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya anda bukan sahaja melihat orang ramai sibuk memanjat atau meluncur. Namun, pada masa sama, pemandangan keluarga yang membentangkan tikar untuk berkelah sudah menjadi kebiasaan.

Cabar ketakutan

Mustapha memberitahu, Gua Damai sebenarnya mempunyai lima gua iaitu Crystal Cave, Dog Cave, Chili Padi Cave, Ichibawa Cave dan Fig Tree Cave.

Artikel Berkaitan:

Ujar Mustapha, antara aktiviti paling mencuri tumpuan ialah meluncur pada Line Zip.

Ia bukan sebarang luncuran kerana selain menguji keampuhan diri, anak mata anda dijamu dengan panorama memukau hutan batu kapur bermula di Gua Kristal hingga melihat sendiri keunikan Gua Damai.

Ya, meluncur pada kelajuan 20 saat per 40 kilometer sejam, memang akan membuatkan injap jantung berdegup pantas.

Tetapi, percayalah, segala ketakutan yang dipendam dan keringat peluh yang dicurahkan memang berbaloi.

Berkongsi pengalaman, seorang pengunjung tetap Taman Ekstrem Gua Damai, Anisah Najihah Ismail, 26, berkata, Taman Ekstrem Gua Damai memang destinasi wajib dikunjungi sejak setahun lalu.

“Di sini, boleh bawa keluarga atau kanak-kanak. Menariknya, semua peralatan keselamatan disediakan dengan kadar bayaran yang berpatutan,” katanya.

Bagi seorang pengunjung lagi, Muhammad Izzuddin Nasarudin, 38, berkata, menariknya taman rekreasi ini ialah kemudahan awamnya yang selesa dan lengkap.

“Sebenarnya, di kawasan Batu Caves ini, ada tujuh ke lapan tempat wall climbing tetapi di Gua Damai ini paling menarik kerana terdapat infrastrukturnya cukup dan paling penting terjaga,” katanya.