RM12.3 juta untuk 123 sekolah di Perak tingkat kualiti pendidikan

IPOH – Sebanyak RM12.3 juta diperuntukkan kepada 123 sekolah di Perak bagi memperkukuh kualiti pendidikan menerusi pelaksanaan Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah di bawah Reformasi Sekolah sempena Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Salmah Abd Murad berkata, daripada jumlah itu, 60 adalah sekolah menengah manakala 63 lagi sekolah rendah yang masing-masing menerima peruntukan RM100,000.
Menurutnya, bantuan tersebut bertujuan menyokong pelaksanaan inisiatif transformasi sekolah yang memberi fokus kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran, pemerkasaan kepimpinan sekolah, pembangunan profesionalisme guru serta meningkatkan kemenjadian murid.
“Sekolah yang menerima peruntukan ini akan menyediakan program-program yang memberi tumpuan kepada kemenjadian murid, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan STEM.
“Selain itu, sekolah juga boleh melaksanakan program yang meningkatkan pembangunan sahsiah murid serta profesionalisme guru. Kerjasama semua pihak di sekolah amat penting bagi merangka program berimpak tinggi dan kreatif,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah Bawah Reformasi Sekolah sempena Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 di Dewan Serbaguna Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar.
Salmah berkata, sekolah yang dipilih merupakan kategori Sekolah Inspirasi berdasarkan penilaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dengan pemilihan dibuat oleh JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Katanya, walaupun sekolah-sekolah berkenaan telah melaksanakan pelbagai program sebelum ini, peruntukan tambahan itu membolehkan mereka memperluaskan pelaksanaan program berskala lebih besar dan berimpak tinggi.
“Antaranya termasuk mewujudkan persekitaran sekolah dan bilik darjah yang lebih kondusif, ceria serta menarik bagi menggalakkan kehadiran dan minat murid untuk belajar.
“Sekolah yang mempunyai kepakaran seperti guru cemerlang juga digalakkan berkongsi ilmu dengan sekolah lain supaya kecemerlangan dapat diperluaskan dalam ekosistem pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan mulai bulan ini dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh sekolah-sekolah terpilih sebelum akhir tahun.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, inisiatif itu turut dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 1,500 sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

