Asmirul cuba tutup kelemahan KFA: FAM

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam
A
A
A

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyangkal tuduhan yang dilemparkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris mengenai langkah badan induk bola sepak itu yang masih belum mengumumkan tarikh Liga Malaysia (Liga-M) akan bersambung semula.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, kenyataan Asmirul itu hanya bertujuan untuk menutup kesalahan KFA berkaitan kelewatan pembayaran gaji pemain Kedah dan dalam masa yang sama mahu menyalahkan pula pihak lain termasuk FAM.

Menurutnya, sebagai sebagai Setiausaha Kehormat KFA sudah tentu Asmirul telah menerima tiga surat pemakluman mengenai penangguhan disebabkan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) ini dan satu surat pemakluman mengenai perancangan liga daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Surat pertama adalah bertarikh 17 Mac mengenai arahan PKP iaitu antaranya melarang sesi latihan dan perlawanan persahabatan diadakan disusuli surat kedua bertarikh 25 Mac bagi menyatakan arahan PKP telah dilanjutkan ke fasa kedua iaitu sehingga 14 April.

"Seterusnya surat ketiga bertarikh 5 April iaitu pemakluman mengenai perancangan MFL yang mana isi kandungannya menyatakan bahawa beberapa alternatif telah dibuat bagi meneruskan kalendar bola sepak tahun ini.

"Ia akan diumumkan yang mana makluman terperinci akan diberikan sebaik kerajaan mengumumkan penetapan tarikh akhir PKP; saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana MFL akan meneliti garis panduan yang akan dikeluarkan nanti; gesaan supaya pasukan dan pemain mengadakan perbincangan berhubung status kontrak; serta jaminan bahawa para penaja Liga-M akan terus kekal memberikan komitmen masing-masing.

"Surat keempat pula bertarikh 10 April yang memaklumkan bahawa kerajaan telah melanjutkan PKP ke fasa ketiga iaitu sehingga 28 April," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Terdahulu, Asmirul dalam satu hantaran di laman facebook miliknya menyifatkan tiada kata putus tarikh akan bersambung liga daripada FAM dan MFL menjadi faktor KFA menghadapi kesukaran berbincang mengenai masalah gaji dan kontrak bersama pemain.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, kata Stuart, FAM dan juga MFL pastinya akan bertindak segera sebaik saja kerajaan mengisytiharkan bahawa tempoh PKP berakhir nanti untuk kedua-dua badan itu mengumumkan secara spesifik tarikh pertandingan Liga-M yang akan disambung semula.

"FAM tidak mahu dilihat sebagai badan induk yang terburu-buru membuat sesuatu ketetapan terlalu awal kerana hal ini memerlukan perancangan teliti supaya keputusan yang dibuat itu tidak diubah-ubah pula pada kemudian harinya.

"Selain itu, Asmirul sebagai Setiausaha Kehormat KFA sebenarnya mempunyai saluran yang lebih tepat untuk meluahkan apa yang terbuku di hati beliau.

"Kami di FAM sekali lagi berasa amat kesal dengan tuduhan dan dakwaan yang telah dilemparkan kerana ia hanya sekadar akan memberikan persepsi buruk umum kepada FAM, sedangkan apa yang dinyatakan beliau itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kebajikan pemain merupakan perkara pertama yang mahu dipertahankan iaitu mana-mana pasukan perlu terlebih dahulu menyelesaikan tunggakan gaji setakat bulan Mac sebelum mereka dibenarkan melakukan sebarang pemotongan gaji ekoran wabak koronavirus (Covid-19).

"Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa pasukan-pasukan menghadapi masalah kewangan masing-masing tetapi ia merupakan situasi atau masalah di peringkat domestik yang mana mereka sendiri yang seharusnya bertanggungjawab dan tidak mengambil jalan mudah mengaitkan FAM dalam permasalahan tersebut," katanya.