Israel di sebalik kemasukan migran beramai-ramai ke Cueta, Sepanyol?

Migran berjalan melepasi anggota Pengawal Awam selepas berenang merentasi sempadan Ceuta dari Maghribi untuk memasuki wilayah Sepanyol, pada 30 Julai lalu. – Foto tular Reuters
Migran berjalan melepasi anggota Pengawal Awam selepas berenang merentasi sempadan Ceuta dari Maghribi untuk memasuki wilayah Sepanyol, pada 30 Julai lalu. – Foto tular Reuters
A
A
A

MADRID – Krisis kemasukan migran ke wilayah Ceuta, Sepanyol, mencetuskan perdebatan politik selepas beberapa pihak di media sosial mendakwa terdapat campur tangan asing, termasuk mengaitkan Israel dengan situasi berkenaan.

Menurut laporan media antarabangsa, dakwaan itu muncul selepas berlaku kemasukan besar-besaran migran dari Maghribi ke Ceuta dan Melilla, dua wilayah Sepanyol di utara Afrika.

Sebahagian pencipta kandungan dan pengulas politik mengaitkan isu itu dengan hubungan tegang antara Sepanyol dan Israel susulan pendirian Madrid yang lantang mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza.

Dakwaan berkenaan turut merujuk kepada hantaran lama Yair Netanyahu, anak kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada 2019 berkaitan isu Ceuta dan Melilla.

Namun, setakat ini tiada bukti rasmi dikemukakan bagi mengesahkan dakwaan bahawa Israel terlibat dalam mencetuskan krisis migrasi tersebut.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa Sepanyol berkata, kemasukan migran secara besar-besaran ke Ceuta berlaku selepas penyebaran maklumat mengelirukan mengenai dasar imigresen negara itu.

Menteri Dalam Negeri Sepanyol, Fernando Grande-Marlaska berkata, sindiket penyeludupan manusia dipercayai mengambil kesempatan terhadap keadaan berkenaan dengan mengeksploitasi golongan rentan.

Beliau turut menegaskan Maghribi kekal sebagai rakan kerjasama penting Sepanyol dan tidak dianggap sebagai ancaman kepada wilayah berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, ketika melawat Ceuta menyifatkan kejadian itu sebagai satu cabaran terhadap integriti wilayah Sepanyol.

Artikel Berkaitan:

Ketegangan hubungan Madrid-Tel Aviv

Hubungan Sepanyol dan Israel semakin tegang sejak tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023.

Sepanyol antara negara Eropah yang paling lantang mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Gaza, selain mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada Mei 2024.

Pendirian Madrid itu mencetuskan ketegangan diplomatik dengan kerajaan Israel, yang beberapa kali mengkritik pendekatan Sepanyol terhadap konflik berkenaan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Sepanyol memaklumkan kebanyakan migran yang memasuki Ceuta telah kembali ke Maghribi, manakala keadaan di sempadan beransur pulih.

Kerajaan Sepanyol turut mengambil langkah memperkukuh kawalan sempadan selepas insiden tersebut yang mengakibatkan puluhan kematian ketika cubaan migran memasuki wilayah berkenaan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!