RXZ Members 8.0: Polis tahan tiga lelaki, siasat kaitan video tular jual air ketum

Van jenis Toyota Hiace yang diperiksa di kawasan susur keluar Stadium Sultan Mizan, Gong Badak di Kuala Nerus.
Van jenis Toyota Hiace yang diperiksa di kawasan susur keluar Stadium Sultan Mizan, Gong Badak di Kuala Nerus.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu menahan tiga lelaki tempatan termasuk seorang remaja berusia 16 tahun selepas dipercayai membawa masuk air ketum sempena program RXZ Members 8.0 di sini pada Jumaat.

​Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 32 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Kuala Terengganu kira-kira jam 7.45 malam.

​Menurutnya, penahanan dibuat hasil pemeriksaan ke atas sebuah van jenis Toyota Hiace di kawasan susur keluar Stadium Sultan Mizan, Gong Badak.

​"Hasil pemeriksaan menemukan dua botol berisi cecair disyaki air rebusan daun ketum dengan anggaran keseluruhan 600 mililiter (ml).

​"Turut dirampas sebuah van jenis Toyota Hiace serta satu anak kunci bersama alat kawalan jauh," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

​Mohd Khairi berkata, ketiga-tiga suspek yang bukan berasal dari negeri ini dipercayai membawa masuk bekalan berkenaan dari luar Terengganu untuk kegunaan sepanjang menghadiri program tersebut.

​Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine, manakala seorang lagi negatif.

​"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Konvoi ke RXZ Members 8.0 berakhir tragedi, seorang penunggang motosikal maut

Artikel Berkaitan:

Lagi peserta RXZ Members 8.0 maut di LPT1

Lelaki Singapura ditahan tunggang RXZ secara berbahaya di LPT2

Tak sempat sampai, dua motosikal terbakar dalam perjalanan ke program RXZ Members

Lagi peserta RXZ Members 8.0 maut rempuh pacuan empat roda berhenti bantu rakan konvoi

​Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, susulan tangkapan itu, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan di tujuh rumah dan resort yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan.

​Dalam pemeriksaan tersebut, seramai 14 individu terdiri daripada 13 lelaki dan seorang wanita tempatan telah dibawa ke JSJN IPK Terengganu bagi tujuan pemeriksaan serta membantu siasatan lanjut.

​"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang barang atau bahan menyalahi undang-undang, manakala ujian saringan air kencing ke atas kesemua 14 individu berkenaan juga didapati negatif dadah.

​"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sebarang kaitan mereka dengan kes tersebut serta mengesan individu lain yang mungkin terlibat," jelasnya.

​Dalam pada itu, beliau berkata, BSJND IPD Dungun turut membuka satu kertas siasatan berhubung penularan satu video di media sosial yang memaparkan tindakan individu dipercayai menjual air ketum secara terbuka di kawasan susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka dari arah Kemaman menghala ke Kuala Terengganu.

​Ujarnya, polis sedang menyiasat kemungkinan terdapat hubung kait antara tangkapan di Kuala Terengganu dengan kejadian dalam video tular berkenaan.

​"Siasatan kini tertumpu kepada usaha mengenal pasti individu terlibat, mengesan sumber bekalan serta menentukan sama ada kedua-dua kejadian melibatkan individu atau rangkaian yang sama.

​"Bagaimanapun, sebarang kaitan antara kedua-dua kejadian masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan pada masa ini," katanya.

​Sementara itu, Mohd Khairi menegaskan JSJN Terengganu akan terus memperketat tindakan penguatkuasaan dan pencegahan sepanjang berlangsungnya RXZ Members 8.0 bagi memastikan penganjuran bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dadah dan air ketum.

​Beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang dan menasihatkan peserta agar tidak terlibat dengan aktiviti jenayah yang boleh mencemarkan imej program tersebut.

"​Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah atau air ketum diminta menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Terengganu di talian 011-6735 1234," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!