Anwar ucap tahniah kepada Azizulhasni, tamatkan penantian 16 tahun emas keirin Komanwel

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang atas kejayaan bersejarah muncul juara acara keirin lelaki pada Kejohanan Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menerusi hantaran di platform X hari ini, Anwar berkata, kejayaan itu menamatkan penantian selama 16 tahun buat Mohd Azizulhasni, yang digelar 'The Pocket Rocketman', untuk bergelar juara keirin Sukan Komanwel.
"Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan, ketabahan dan semangat juang yang tidak pernah luntur, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa serta menyuntik inspirasi kepada seluruh rakyat,” kata Anwar yang turut memuat naik hantaran akaun Glasgow 2026.
Terdahulu, Mohd Azizulhasni meraih emas acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow awal pagi tadi, (Jumaat malam waktu Scotland).
Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu mengatasi pelumba Australia Leigh Hoffman dan wakil England Harry Ledingham-Horn, yang masing-masing meraih perak dan gangsa.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan pada tempat ketujuh.
Sebagai rekod, Azizulhasni yang membuat penampilan keempat di Sukan Komanwel pernah merangkul pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan pada edisi 2010 di New Delhi dan keirin pada edisi 2014 di Glasgow.
Kejayaan itu turut menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia di Glasgow 2026, selain menjadi emas sulung skuad berbasikal trek negara pada temasya kali ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
