'Tiada siapa pulang lapar' - Surau An-Nadiah sumbang lebih 400 bungkus nasi setiap Jumaat

KUALA LUMPUR - Lebih 400 bungkus nasi disediakan dan diagihkan secara percuma kepada jemaah setiap kali solat Jumaat di Surau An-Nadiah, Kampung Batu Muda, di sini, sekali gus memastikan tiada sesiapa khususnya golongan memerlukan pulang dalam keadaan lapar.
Inisiatif kebajikan itu dilaksanakan secara konsisten hasil semangat gotong-royong dan budaya berinfaq yang terus subur dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Muslimah, jemaah dan penduduk setempat.
Menurut Muslimah Surau An-Nadiah, Norzita Che Mat, amalan tersebut bermula sejak surau itu mendapat kebenaran mendirikan solat Jumaat sebagai Surau Diri Jumaat pada 5 September tahun lepas dan tidak pernah terhenti sehingga kini.
“Sejak Surau An-Nadiah diberi kebenaran mendirikan Solat Jumaat, kami tidak pernah terlepas menyediakan makanan untuk jemaah pada setiap hari Jumaat.
"Penyediaan makanan ini adalah hasil daripada infaq penduduk setempat dan para penyumbang yang sentiasa menyokong usaha kebajikan ini,” katanya pada Jumaat.
Norzita memaklumkan, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan tiada sesiapa terpaksa menahan lapar, khususnya golongan pelajar, pekerja dan mereka yang kurang berkemampuan di sekitar Kampung Batu Muda.

"Harapan kami, walaupun sekadar sebungkus nasi, ia mampu meringankan beban mereka yang memerlukan dan pada masa sama mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat," katanya.
Usaha berterusan Surau An-Nadiah itu menjadi contoh bagaimana amalan bersedekah dan semangat kebersamaan mampu melahirkan komuniti prihatin, sekali gus memastikan manfaat dapat dinikamti lebih ramai golongan memerlukan setiap minggu.

Program kebajikan digerakkan oleh barisan AJK Muslimah bersama sukarelawan itu turut membuka ruang kepada orang ramai untuk sama-sama menyumbang melalui infaq bagi memastikan usaha berkenaan dapat diteruskan.
Bagi memudahkan urusan, pihak surau turut menyediakan kod QR sumbangan yang boleh digunakan oleh mana-mana individu yang ingin menyokong kesinambungan program tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

