Upah RM100 bawa durian Musang King, Mon Thong seludup, lelaki dicekup PGA

RANTAU PANJANG – Cubaan menyeludup masuk 1.05 tan durian jenis Musang King dan Mon Thong dari Thailand melalui pangkalan haram ke pasaran tempatan gagal apabila seorang lelaki diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di Kampung Lubok Gong, di sini pada Jumaat.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan ketika memandu sebuah van Ford dalam keadaan mencurigakan berhampiran pangkalan haram Yasin kira-kira jam 1 pagi.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 300 kilogram (kg) durian Musang King dan 750 kg durian Mon Thong yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah.
"Siasatan awal mendapati semua durian tersebut diperoleh dari Thailand sebelum dibawa masuk melalui pangkalan haram Yasin di Lubok Gong.
"Bekalan durian itu dipercayai dalam perjalanan ke RTC Tunjong, Kota Bharu untuk dipasarkan dan suspek mengaku menerima upah sebanyak RM100 bagi membawa muatan berkenaan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Ujar beliau, selain durian, sebuah van Ford turut dirampas menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM46,250.
Tambahnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

