Jalaluddin dakwa kempen benci BN mula disebar menerusi pemasangan sepanduk

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menunjukkan sepanduk berunsur provokasi dinaikkan bermula hari ini bagi menanam kebencian pengundi terhadap parti berkenaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menunjukkan sepanduk berunsur provokasi dinaikkan bermula hari ini bagi menanam kebencian pengundi terhadap parti berkenaan.
A
A
A

 

TAMPIN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendakwa kempen berbentuk provokasi dan menanam kebencian terhadap BN mula dilakukan menerusi pemasangan beberapa banner di kawasan tertentu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut beliau, tindakan berkenaan disifatkan tidak wajar kerana boleh mencetuskan suasana tidak sihat dalam kalangan masyarakat, selain mengeruhkan perjalanan kempen pilihan raya.

Jalaluddin berkata, antara sepanduk yang dipasang memaparkan gambarnya bersama tulisan "BN Monang, Mukhriz Turun", yang menurutnya bertujuan menimbulkan persepsi negatif terhadap parti itu.

"Hari ini sudah bermula pendekatan untuk menanamkan rasa benci rakyat kepada parti Barisan Nasional dengan menaikkan sepanduk yang tidak sewajarnya dinaikkan. Diletaknya gambar saya, 'BN Monang, Mukhriz Turun'," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sembilan Tahun 2026 (JPKK) di Gemencheh, Tampin, Khamis.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian tidak lagi sesuai dalam landskap politik semasa kerana hanya akan mengapi-apikan sentimen kebencian dalam kalangan rakyat.

"Ini adalah perkara yang pada saya sangat-sangat tidak wajar dilakukan kerana prinsip pendekatan politik sedemikian itu dilakukan sejak 10 tahun dulu. Zaman sekarang saya fikir tidak wajar untuk menanamkan rasa benci rakyat," katanya.

Menurut beliau, kempen berbentuk provokasi juga berpotensi mewujudkan suasana perkauman yang melampau serta menjejaskan keharmonian masyarakat di peringkat akar umbi.

Dalam perkembangan sama, Jalaluddin turut mendakwa kegiatan politik wang masih berlaku di beberapa kawasan walaupun beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa terdapat penerima yang menerima wang secara terus daripada individu yang disifatkannya sebagai broker politik.

"Keadaan itu tak berhenti semalam, hari ini pun masih lagi berlaku terutamanya di kawasan Kuala Pilah dan juga di kawasan Jempol," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai tindakan yang mencabuli sistem pilihan raya dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses demokrasi berjalan dengan adil.

"Saya fikir itu adalah merupakan satu perkara yang sangat malang apabila sistem pilihan raya dicabuli sedemikian rupa," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!