Eseme pecah rekod Sukan Komanwel berusia 28 tahun di Glasgow

REKOD Sukan Komanwel yang kekal sejak edisi Kuala Lumpur 1998 akhirnya dipecahkan apabila pelari pecut Cameroon, Emmanuel Eseme mencatat larian luar biasa dalam acara 100 meter (m) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Eseme mencatat masa 9.83 saat (s) di Stadium Scotstoun pada 28 Julai, sekali gus memadam rekod temasya berusia 28 tahun, iaitu 9.88s yang dicatat legenda pecut Trinidad dan Tobago, Ato Boldon.
Catatan itu meletakkan Eseme dalam senarai atlet yang melakar sejarah di Glasgow, yang setakat ini menyaksikan empat rekod dunia dipecahkan menerusi acara powerlifting para dan olahraga para.
Tiga rekod dunia pertama dicipta dalam acara powerlifting para wanita kategori heavyweight di Scottish Event Campus Armadillo pada hari pembukaan pertandingan, Jumaat lepas.
Atlet Nigeria, Folashade Oluwafemiayo memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali dalam kategori wanita melebihi 86 kilogram (kg) ketika mempertahankan gelaran Sukan Komanwel.
Atlet berusia 41 tahun itu memulakan saingan dengan angkatan 165kg untuk memperbaharui rekod temasya miliknya sebelum mengangkat 172kg, sekali gus mengatasi rekod dunia terdahulu 168kg yang dilakukannya pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2025 di Mesir.
Selepas mengesahkan pingat emas, juara Paralimpik dua kali itu sekali lagi memperbaharui rekod dunia apabila berjaya mengangkat 175kg pada percubaan ketiga dan terakhir.
Seorang lagi atlet Nigeria, Rita Ferdinand turut mencipta rekod dunia dalam pertandingan sama apabila berjaya mengangkat 158kg bagi kategori wanita sehingga 79kg, mengatasi rekod terdahulu 154kg yang dilakukan atlet China, Han Miaoyu pada 2024.
Ferdinand mengumpul 128.2 mata menerusi sistem pemarkahan berasaskan koefisien, iaitu jumlah angkatan mengikut kategori berat badan, yang digunakan bagi pertandingan heavyweight Sukan Komanwel, sekali gus meraih pingat perak.
Sementara itu, rekod dunia keempat dicipta Goodness Nwachukwu dari Nigeria dalam acara lempar caker wanita F42-44/F61-64 di Stadium Scotstoun semalam.
Selepas mengesahkan pingat emas menjadi miliknya, Nwachukwu melakukan lemparan sejauh 39.66 meter (m) pada percubaan terakhir untuk memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri, 36.56m, yang dicatat pada edisi Birmingham 2022.
Catatan itu, yang juga merupakan rekod dunia pertama dalam program olahraga dan olahraga para di Glasgow 2026, membolehkan beliau mempertahankan gelaran yang dimenanginya empat tahun lalu.
Secara keseluruhan, empat rekod dunia di Glasgow 2026 dihasilkan oleh tiga atlet, dengan Oluwafemiayo menyumbang dua daripadanya menerusi dua angkatan berturut-turut yang memecahkan rekod dunia.
Selain rekod dunia dan larian bersejarah Eseme, temasya Glasgow 2026 turut menyaksikan beberapa rekod Sukan Komanwel diperbaharui dalam acara renang, olahraga dan angkat berat.
Antara persembahan paling menonjol ialah perenang Kanada, Josh Liendo yang memenangi acara 100m kuak kupu-kupu lelaki dengan catatan rekod temasya 50.42s di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross pada 26 Julai.
Atlet angkat berat Malaysia turut mencuri tumpuan apabila lima pemenang pingat emas negara mencipta keseluruhan 10 rekod temasya menerusi Mohamad Aniq Kasdan, Muhamad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Muhammad Hafizuddin Roslin dan Mohamad Syahmi Nor Ghazali.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang bermula pada 23 Julai akan melabuhkan tirainya Ahad ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
