Mydin lancar ‘Jom Jalan MYDIN’, tawar ganjaran RM5 juta

A
A
A

Ameer (dua dari kanan) dan Mohd Akbal (tengah) melancarkan Jom Jalan Mydin di Mydin USJ pada Khamis.
Ameer (dua dari kanan) dan Mohd Akbal (tengah) melancarkan Jom Jalan Mydin di Mydin USJ pada Khamis.

Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menawarkan tawaran jualan, penjimatan serta hadiah bernilai keseluruhan RM5 juta menerusi pelancaran kempen ‘Jom Jalan MYDIN’ bagi menyokong kempen Cuti-Cuti Malaysia dan Visit Malaysia 2026.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, kempen berlangsung di 83 cawangan Mydin di seluruh negara itu bertujuan menggalakkan pelancongan domestik selain menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia, sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, menerusi kempen berkenaan, Mydin menyasarkan peningkatan kehadiran pelanggan dua hingga tiga kali ganda di semua cawangannya.

“Dalam keadaan ekonomi semasa dan isu global, kita mahu mengajak rakyat berbelanja dan bercuti dalam negara.

“Usaha sama dengan pelbagai pihak seperti Tourism Malaysia dan Tabung Haji Travel and Services ini membolehkan pelanggan menikmati percutian pada kadar berpatutan sambil berbelanja barangan keperluan pada harga promosi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebagai antara tarikan utama kempen, Mydin menganjurkan aktiviti Jelajah Lokal Treasure Hunt dengan kerjasama Malaysian Hunt Club bermula 23 Julai hingga 30 September 2026.

Penyertaan Treasure Hunt adalah percuma dan terbuka kepada pasukan empat orang berusia 18 tahun ke atas yang berbelanja minimum RM150 dalam satu resit, dengan menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM45,000.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti itu membabitkan tiga pusingan, iaitu pusingan pertama dari Mydin USJ Subang, Selangor ke Mydin MITC, Melaka; pusingan kedua dari Mydin Gopeng RTC, Perak ke Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan pusingan ketiga dari Mydin Kuala Terengganu, Terengganu ke Mydin Tunjong, Kelantan.

AMEER
AMEER

Pada masa sama, Mydin turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Mydin Prihatin bernilai RM15,000, dengan pemenang di setiap lokasi akan menyampaikan sumbangan 50 kotak barangan keperluan kepada penerima daripada golongan B40 yang dikenal pasti menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain itu, kempen peraduan Beli, Menang & Jalan! yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September 2026 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 kepada pelanggan yang berbelanja minimum RM120 bagi produk jenama terlibat dalam satu resit.

Peraduan yang dijayakan bersama rakan penaja seperti Tabung Haji Travel and Services, Sunway Lagoon, Lost World of Tambun dan Setel itu menawarkan hadiah utama berupa 10 pakej percutian kapal persiaran selama tiga hari dua malam.

Turut ditawarkan ialah 30 pakej percutian tiga hari dua malam sebagai hadiah pertama, 100 pas masuk taman tema dan Night Park (dewasa) sebagai hadiah kedua serta 100 kredit Setel bernilai RM200 sebagai hadiah saguhati.

Pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan aplikasi Setel pula layak menerima dua kali ganda peluang penyertaan.

Ameer berkata, Mydin turut memperkenalkan tawaran Purchase With Purchase (PWP) kepada pelanggan yang berbelanja minimum RM100 dalam satu resit, membolehkan mereka membeli sehingga tiga barangan terpilih pada harga diskaun khas.

“Antara produk yang ditawarkan ialah roti pada harga RM1, telur ayam saiz M (10 biji) pada harga RM2, Milo pada harga RM9 berbanding harga asal RM14.65, biskut Munchy’s pada harga RM8 berbanding RM14.40, beras lima kilogram pada harga RM25 berbanding RM35.50 serta beg pakaian 24 inci pada harga RM25 berbanding RM59.90.

“Selain itu, syampu Sunsilk, pelembut fabrik Softlan dan periuk nasi Sonic Gear turut ditawarkan pada harga istimewa sepanjang kempen berkenaan,” tambahnya.

‘Jom Jalan Mydin’ berpotensi rancakkan pelancongan domestik

Ameer berkata, pusat beli-belah bukan sekadar tempat mendapatkan barangan keperluan, sebaliknya menjadi platform yang menawarkan pengalaman unik kepada pelanggan selain membantu mempromosikan produk tempatan.

No Image Caption

Menurutnya, menerusi Kempen ‘Jom Jalan Mydin’ yang baru dilancarkan, ia secara tidak langsung menggalakkan rakyat Malaysia meneroka destinasi pelancongan tempatan sambil menikmati pengalaman membeli-belah interaktif sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Mydin turut komited membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari seluruh negara dengan menyediakan ruang untuk mereka memperkenalkan produk tempatan kepada pengguna.

“Melalui kempen ini, kami berharap rakyat Malaysia dapat mengenali, menghargai dan terus memilih barangan buatan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Jom Jalan Mydin, di Mydin USJ pada Khamis.

Dalam pada itu beliau turut menyifatkan kerjasama antara pihaknya dan Tourism Malaysia mencerminkan komitmen berterusan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, terutama dalam sektor peruncitan serta pembangunan komuniti usahawan tempatan sempena VM2026.

“Menerusi kerjasama ini, pelancong tempatan bukan sahaja digalakkan melancong, malah disokong untuk meneroka dan membeli produk warisan tempatan dari pelbagai negeri di bawah satu bumbung,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital merangkap Ketua Sekretariat VM2026 Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia memaklumkan, prestasi pelancongan domestik negara menunjukkan momentum positif menerusi peningkatan sebanyak 7.2 peratus atau 74 juta pergerakan pelancong bagi suku pertama tahun ini.

Pencapaian itu ujarnya, meletakkan sektor pelancongan negara di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Dalam masa sama beliau menjelaskan, Tourism Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan sektor swasta sebagai persediaan menuju VM2026.

“Kerjasama ini bukan sahaja menggalakkan rakyat Malaysia meneroka pelbagai destinasi pelancongan tempatan, malah memperkukuh segmen pelancongan beli-belah yang menjadi antara penyumbang penting kepada pendapatan pelancongan domestik negara.

“Melalui kempen ini, pengunjung bukan sahaja digalakkan melancong, malah berpeluang mengenali dan membeli produk tempatan dari setiap negeri yang disediakan di bawah satu bumbung,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!