UniQSAS diharap jadi universiti bertaraf dunia- Sultan Pahang

Al- Sultan Abdullah berkenan menandatangani plug istiadat pemasyhuran UniQSAAS di Auditorium universiti tersebut pada Khamis. Foto Penerangan Pahang
Al- Sultan Abdullah berkenan menandatangani plug istiadat pemasyhuran UniQSAAS di Auditorium universiti tersebut pada Khamis. Foto Penerangan Pahang
A
A
A

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UniQSAAS) berada di landasan terbaik bagi mencapai aspirasi menjadi universiti bertaraf dunia.

Baginda bertitah, penjenamaan semula Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniIPSAS) kepada UniQSAAS adalah usaha meneruskan legasi yang dibina sejak 30 tahun lalu

Titah Al-Sultan Abdullah, usaha berkenaan adalah kesinambungan legasi yang dibina oleh kepimpinan terdahulu termasuk mantan Pengerusi UniIPSAS, Tan Sri Adnan Yaakob serta Almarhum ayahanda baginda, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

"Hari ini, saya hanya memanjangkan legasi itu, meningkatkan anjakan paradigma universiti ini ke satu lagi tahap supaya UniQSAAS akan menjadi satu permata buat negeri dan Rakyat Pahang.

"Saya berharap agar kepimpinan UniQSAAS dapat memastikan perjalanan institusi itu mencapai tahap terbaik di dunia dan itulah harapan saya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan istiadat pemasyhuran UniQSAAS di Auditorium universiti tersebut pada Khamis.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah

Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakat dan Naib Canselor UniQSAAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya semua penuntut UniQSAAS diberikan pembelajaran terbaik.

"Apa yang perlu maklumlah kepada pihak kerajaan, pihak saya sendiri supaya kita beri keutamaan kepada penuntut-penuntut di universiti ini,” titah baginda.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah dalam titahnya menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dapat meneruskan legasi Allahyarham ayahanda baginda.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada mantan Pengerusi terdahulu, Tan Sri Adnan Yaakob, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang serta bekas dan ahli-ahli lembaga yang terdahulu serta kini kerana memainkan peranan dalam memakmurkan perjalanan pentadbiran universiti itu sepanjang 30 tahun.

Menurut baginda, kepimpinan universiti termasuk Pro-Canselor, Canselor, Menteri Besar Pahang, Tengku Mahkota Pahang serta Naib Canselor, Datuk Profesor Dr. Zawawi perlu memastikan perjalanan UniQSAAS berada di landasan terbaik.

"Harapan saya ialah supaya daripada atas, Pro-Canselor, anakanda saya Canselor, Tengku Ampuan, Pro-Canselor, Menteri Besar, dan juga saya Tengku Mahkota, baginda Raja dan Naib Canselor, Zawawi supaya menentukan perjalanan universiti ini akan berada di satu landasan yang benar-benar terbaik sekali di dunia," titah baginda.

Baginda turut berharap semua penuntut universiti itu diberikan pembelajaran terbaik dengan keutamaan sewajarnya daripada pihak kerajaan dan pihak baginda sendiri.

"Jadi itulah harapan saya supaya semua penuntut-penuntut ini diberi pembelajaran yang terbaik.

"Apa yang perlu maklumlah kepada pihak kerajaan, pihak saya sendiri supaya kita beri keutamaan kepada penuntut-penuntut di universiti ini," titah baginda.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar berkata, transformasi UniQSAAS merupakan satu langkah strategik yang menandakan bermulanya era baharu pendidikan tinggi al-Quran di negeri ini.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan RM150,000 sebagai peruntukan awal bagi melaksanakan gerak kerja penubuhan universiti tersebut.

“Transformasi ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam membentuk hala tuju pembangunan universiti.

“Hasilnya, UniQSAAS kini berkembang sebagai sebuah universiti yang meletakkan al-Quran sebagai teras pembangunan ilmu, penyelidikan, inovasi dan pembinaan tamadun, di samping teus menawarkan pelbagai program profesional yang memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Nazri berkata, perkembangan positif itu turut dizahirkan menerusi peningkatan jumlah pengambilan pelajar melebihi 2,000 orang, penubuhan Markaz Lughah di bawah Al-Azhar Al-Sharif, Mesir serta kerjasama strategik bersama Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kesemua pencapaian ini memperkukuh kedudukan UniQSAAS sebagai hab kecemerlangan pendidikan al-Quran dan bahasa Arab yang diiktiraf di peringkat nasional serta berpotensi berkembang ke persada antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, UniQSAAS turut memperkukuh konsep Biah Quraniyyah melalui pelbagai amalan dan program berkaitan al-Quran serta al-Sunnah dalam usaha membudayakan kehidupan berteraskan nilai Islam dalam kalangan warga kampus.

Jelasnya, antara pencapaian penting ialah penganjuran Majlis Khatam Al-Quran Jama'i dan Sama' Hadis bersama Al-Syeikh Al-'Allamah Al-Muhaddith Al-Duktur Al-Mustafa Al-Nadwi.

Pada masa sama, UniQSAAS turut diberi kepercayaan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sebagai Pusat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2026/2027 melibatkan hampir 200 pelajar daripada institusi pondok, madrasah dan maahad tahfiz di seluruh negeri.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!