Jenazah mangsa tikam di Korea Selatan dijangka tiba petang ini

Shah Zanuriman (dua dari kanan) ketika menziarahi keluarga Allahyarham Ahmad Shah pada Rabu. Foto: Facebook Shah Zanuriman - Gambar kecil (Allahyarham Ahmad Shah)
Shah Zanuriman (dua dari kanan) ketika menziarahi keluarga Allahyarham Ahmad Shah pada Rabu. Foto: Facebook Shah Zanuriman - Gambar kecil (Allahyarham Ahmad Shah)
A
A
A

SHAH ALAM – Jenazah rakyat Malaysia, Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut selepas ditikam ketika dipercayai cuba meleraikan pergaduhan di Korea Selatan, dijangka tiba di tanah air pada jam 5 petang, Khamis.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, pihaknya akan membantu menguruskan perjalanan terakhir Allahyarham sebaik jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Selayang berkata, bantuan itu membabitkan urusan membawa jenazah dari kawasan kargo Malaysia Airlines (MAS) ke kediaman keluarga di Bandar Tasik Puteri, Rawang sebelum dibawa ke masjid untuk urusan pengebumian.

“Kami membantu mengatur perjalanan terakhir arwah, iaitu dari kargo MAS ke rumah keluarga. Bagi urusan di masjid dan tanah perkuburan pula, pihak pengurusan masjid akan mengambil alih kerana kes ini sudah mendapat perhatian ramai.

“Sebelum ini, kami menziarahi keluarga Allahyarham dan bersimpati dengan mereka memandangkan arwah merupakan tonggak keluarganya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Ahmad Shah, seorang pekerja sektor perkilangan, disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Korea Selatan selepas cedera parah di bahagian perut akibat ditikam dengan pisau ketika cuba meleraikan satu pergaduhan.

Allahyarham yang menetap di negara itu sejak 2019 dikatakan datang ke lokasi kejadian bersama isterinya selepas dihubungi rakannya yang juga rakyat Malaysia untuk mendapatkan pertolongan.

Susulan kejadian itu, polis daerah Eumseong menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh dan beberapa kesalahan lain, manakala beberapa individu lain yang dipercayai terlibat turut ditahan.

Shah Zanuriman berkata, keluarga berharap urusan pengebumian dapat diselesaikan pada malam yang sama sejurus jenazah tiba di tanah air.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga berharap mendapat bantuan pihak polis trafik supaya perjalanan membawa jenazah berjalan lancar memandangkan keadaan trafik di lebuh raya pada waktu petang agak sesak,” katanya.

Beliau berharap urusan membawa pulang dan pengebumian Allahyarham dipermudahkan memandangkan jenazah telah berada di Korea Selatan sejak Ahad lalu.

Dalam pada itu, Shah Zanuriman berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham yang kehilangan tonggak keluarga.

“Arwah merupakan satu-satunya anak lelaki daripada tiga beradik. Sebelum kejadian, arwah juga sempat berbual dengan ibunya.

“Kami turut mewakili keluarga merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan bagi meringankan kos membawa pulang jenazah yang dianggarkan sekitar RM80,000,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!