[VIDEO] Enam didakwa pukul warga China guna batang besi, peras jam tangan mewah
MELAKA – Enam lelaki didenda oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang warga China menggunakan batang besi serta melakukan pemerasan membabitkan sebuah jam tangan mewah jenama Patek Philippe.

Lima tertuduh, Shamsul Arif Sadon, 42; Chee Yee Hao, 32; Chong Man Fai, 26; Tan Cheng Hock, 33; dan Mohamad Ajmal Kunumon, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan dua batang besi terhadap mangsa, Zhang Xiaobiao.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 7 malam pada 20 Julai hingga 2 pagi pada 21 Julai 2026 di sebuah unit di Admiral Residence, Jalan KLJ 2, Melaka Tengah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,500 setiap seorang atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.
Dalam prosiding sama, Yee Hao bersama seorang lagi tertuduh, Chen Xianfei, 40, turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lagi mangsa dengan merampas sebuah jam tangan jenama Patek Philippe tanpa alasan yang munasabah di lokasi dan pada waktu yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.
Sementara itu, Xianfei turut mengaku bersalah atas pertuduhan berada di Malaysia tanpa memiliki pas yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thivia, manakala semua tertuduh diwakili peguam Yong Jei Beng.
Terdahulu, peguam memohon hukuman ringan dengan alasan semua anak guamnya telah insaf selepas direman antara empat hingga tujuh hari.
Beliau turut memaklumkan kesemua enam tertuduh saling mengenali antara satu sama lain dan kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan wang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

