Bomba Johor gempur 'rumah sarang burung' berisiko tinggi

Keadaan sebuah rumah yang tidak terurus dan mampu mengundang bahaya sekiranya berlaku kebakaran ketika operasi yang dijalankan di Dataran Larkin, Johor Bahru pada Khamis.
Keadaan sebuah rumah yang tidak terurus dan mampu mengundang bahaya sekiranya berlaku kebakaran ketika operasi yang dijalankan di Dataran Larkin, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor meneruskan operasi menggempur premis rumah kedai yang diubah suai menjadi bilik sewa sempit atau "rumah sarang burung" susulan risiko kebakaran tinggi yang boleh mengorbankan nyawa penghuni.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Siti Rohani Nadir berkata, operasi itu dijalankan susulan keputusan Mesyuarat Task Force Rumah Sarang Burung yang menekankan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu terhadap premis berisiko tinggi.

Menurutnya, langkah itu bertujuan mengelakkan kejadian kebakaran yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Kebanyakan premis yang diperiksa hari ini tidak mematuhi aspek keselamatan kebakaran, sekali gus boleh mengancam keselamatan penghuni.

“Bangunan ini asalnya sebuah kedai dan bahagian atasnya diubah suai menjadi bilik sewa sempit berkeluasan antara sembilan hingga 12 meter persegi dengan kadar sewa bermula RM350 hingga RM500 sebulan,” katanya ketika operasi yang dijalankan di Dataran Larkin, Johor Bahru pada Khamis.

Siti Rohani ketika melakukan pemantauan keselamatan di salah sebuah rumah dalam operasi yang dijalankan di Dataran Larkin, Johor Bahru pada Khamis.
Siti Rohani ketika melakukan pemantauan keselamatan di salah sebuah rumah dalam operasi yang dijalankan di Dataran Larkin, Johor Bahru pada Khamis.

Turut menyertai operasi berkenaan ialah 10 kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), 15 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 20 anggota dan pegawai JBPM Johor.

Siti Rohani berkata, pemeriksaan lanjut di premis itu mendapati akses ke bilik sewa terhalang, laluan tangga tidak selamat, selain sistem pengudaraan dan pencahayaan yang tidak memuaskan, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran serta mengancam nyawa penghuni.

Sehubungan itu, JBPM Johor akan mengenal pasti pemilik premis selain bertemu pihak yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan notis.

“Notis akan dikeluarkan dan tempoh antara 14 hari hingga enam bulan diberikan kepada pemilik untuk bertemu pihak bomba bagi mengadakan perbincangan sekiranya mahu meneruskan operasi premis berkenaan.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan mahkamah akan diambil untuk pendakwaan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!