ADS pilihan pembiayaan alternatif untuk MTC

SYARIKAT peringkat pertengahan (MTC) di Malaysia kini mempunyai satu lagi pilihan pembiayaan yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) khususnya bagi memenuhi keperluan modal lebih besar untuk melaksanakan projek utama, mengembangkan operasi serta menyokong keperluan modal kerja.
Abundance Treasures BGroup Sdn Bhd baru-baru ini mengadakan pra-pelancaran Abundance Dynamic Securities (ADS), platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada pembiayaan terjamin bersandarkan aset.
ADS berperanan menghubungkan syarikat peringkat pertengahan yang layak dengan pelabur menerusi platform yang selamat, telus dan berteraskan teknologi.
Pada majlis pelancaran awal berkenaan, enam Memorandum Persefahaman (MOU) berasingan dimeterai antara Abundance Treasures BGroup Sdn Bhd dengan beberapa organisasi iaitu Koperasi Tenaga Nasional Berhad (Koperasi TNB), Scrut Auto Sdn Bhd, Finzwerk Management, Stocktalk Holding Sdn Bhd, Pam Biz Financial Sdn Bhd dan Hakem Arabi & Associates.
Kerjasama tersebut membentuk rangka kerja strategik bagi memperkasa pembiayaan P2P, memperluas penyertaan pasaran serta menyokong perkembangan ekosistem pembiayaan alternatif di Malaysia.
Pengurus Besar Abundance Treasures BGroup, Dr Lai Heow Gran berkata, MTC merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara namun keperluan pembiayaan segmen itu masih belum dapat dipenuhi sepenuhnya melalui saluran sedia ada.
“ADS menyediakan satu lagi pilihan pembiayaan terkawal kepada syarikat yang layak dalam segmen ini dan selaras dengan skala operasi serta keperluan perniagaan mereka.
“Apabila MTC memperoleh kontrak lebih besar dan mengembangkan operasi, syarikat berkenaan lazimnya perlu menyediakan modal terlebih dahulu sebelum menerima bayaran daripada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, keadaan ini boleh memberi tekanan kepada aliran tunai, khususnya apabila tempoh pelaksanaan projek mengambil masa panjang dan sejumlah besar dana terikat dalam pembelian peralatan serta kos operasi.
Pada masa sama, syarikat ini juga mungkin berdepan cabaran mendapatkan pembiayaan, akses yang terhad kepada pasaran modal tradisional serta tahap kesedaran yang rendah terhadap pilihan pembiayaan alternatif.
Sementara itu, Laporan Tahunan 2025 SC merekodkan platform P2P berjaya mengumpul dana berjumlah RM2.83 bilion pada 2025, dengan 98 peratus daripada jumlah tersebut disalurkan bagi tujuan modal kerja.
Perkembangan itu menunjukkan kesesuaian pembiayaan P2P dalam memenuhi keperluan modal syarikat yang sedang berkembang.
Menurut SC, terdapat hampir 8,500 MTC di Malaysia. Bagi syarikat yang layak dalam segmen berkenaan, pembiayaan P2P menawarkan satu lagi saluran terkawal untuk mendapatkan dana daripada pelabur bagi membiayai modal kerja, projek serta pengembangan perniagaan.
Abundance Treasures BGroup didaftarkan oleh SC sebagai Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) bagi pembiayaan P2P.
Menerusi ADS, syarikat itu menawarkan pembiayaan terjamin bersandarkan aset bagi menyediakan perlindungan kredit tambahan kepada pelabur, selain memperluas akses modal kepada MTC yang layak.
Syarikat yang memenuhi syarat boleh mendapatkan akses kepada rangkaian pelabur lebih luas melalui ADS, termasuk pelabur institusi, korporat, sofistikated dan runcit di seluruh Malaysia.
Langkah itu membolehkan syarikat mempelbagaikan sumber pembiayaan selain mengurangkan kebergantungan kepada kemudahan perbankan konvensional.
Syarikat yang berminat boleh mengemukakan permohonan dengan menyerahkan maklumat berkaitan keperluan pembiayaan serta dokumen sokongan melalui platform ADS untuk tujuan penilaian.
Peluang pembiayaan yang diluluskan kemudiannya akan disenaraikan untuk diteliti dan disertai pelabur, manakala proses pengagihan dana serta pembayaran balik akan diuruskan secara digital menerusi platform berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
