Pahang edar 100,000 topeng muka di lokasi panas Covid-19

Dr Sallehuddin (dua dari kanan) menerima sumbangan topeng muka daripada Steven di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang semalam. - Foto Pahangmedia
Dr Sallehuddin (dua dari kanan) menerima sumbangan topeng muka daripada Steven di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang semalam. - Foto Pahangmedia
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengagihkan kira-kira 100,000 topeng muka di sembilan kawasan titik panas wabak koronavirus (Covid-19) di daerah ini.

Setiausahanya, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, agihan topeng muka itu akan dilakukan dalam masa terdekat secara berperingkat.

Menurutnya, sembilan kawasan titik panas yang dikenal pasti setakat ini ialah di Taman Mahkota Aman, Taman Mahkota Permai, Taman Indera Sempurna, Taman Sri Inderapura, Taman Pandan Perdana, Indera Mahkota 2 dan Felda Bukit Goh di Jaya Gading serta Balok.

“Kira-kira 1,200 isi rumah yang mempunyai individu di bawah pemerhatian (PUI) akan diberikan lebih topeng muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pahang menerima 200,000 topeng muka yang disumbangkan oleh Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Teknologi Alliance Steel (M) Sdn Bhd, Steve Hu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ibrahim.

Mengulas mengenai bekalan topeng muka, Sallehuddin berkata, ia masih mencukupi untuk kegunaan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak Alliance Steel juga akan memberi tambahan 300,000 topeng muka lagi pada peringkat kedua selepas ini.

"Saya difahamkan daripada 300,000 topeng muka itu, 10,000 daripadanya adalah topeng muka jenis N95.

“Bekalan topeng muka kita masih cukup berbanding bekalan PPE (pakaian perlindungan diri) yang mana kita anggarkan penggunaannya adalah sebanyak 4,000 unit sehari,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan Pahang mengharapkan pihak Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dapat mengekalkan status kawasan hijau dalam penularan wabak Covid-19 ini.