Tingkatan Enam kekal di bawah KPM

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat sementara, selain memperkukuh kedudukannya sebagai institusi prauniversiti bagi meningkatkan imej dan pengiktirafan terhadap aliran berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk sistem pengurusan, skim perkhidmatan guru dan keperluan pelajar.
Menurutnya, walaupun sebelum ini Tingkatan Enam diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pelaksanaannya memerlukan penelitian lebih mendalam.
"Saya akan kemukakan semula supaya yang pentingnya Tingkatan Enam itu jangan dijadikan sebahagian daripada sekolah, tetapi mempunyai sentimen prauniversiti.
"Kalau pun dalam satu sekolah, Tingkatan Enam itu harus ada blok berasingan dan kemudian minta pengetua urus ini sebagai satu projek yang berasingan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM di sini pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Pada Januari lalu, Anwar mengumumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih keseluruhan sistem pra-universiti atau Tingkatan Enam dan matrikulasi bermula tahun 2027.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 berkata KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun ini.
Katanya, pengambilalihan itu secara rasmi meletakkan kedua-dua aliran berkenaan sebagai sebahagian daripada pendidikan tinggi negara.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan pelajar Tingkatan Enam juga tidak sepatutnya dianggap sebagai sebahagian daripada pelajar sekolah menengah biasa, sebaliknya diberi pengiktirafan sebagai kumpulan pasca sekolah yang sedang mengikuti pendidikan prauniversiti.
"Jangan dimasukkan dalam perhimpunan sekolah. Biar perhimpunan itu untuk sekolah sehingga Tingkatan 5 dan Tingkatan Enam diberi pengiktirafan khas sebagai satu bahagian khas walaupun berada dalam kawasan sekolah yang sama," jelas beliau.
Anwar berkata, pengasingan itu meliputi aspek blok pembelajaran, pengurusan serta disiplin supaya pelajar benar-benar merasai suasana pendidikan prauniversiti.
"Jadi buat sementara ini biar kekal dulu di Kementerian Pendidikan.
"Kita boleh kaji semula selepas beberapa tahun pelaksanaan sekiranya perlu, tetapi buat masa sekarang saya putuskan supaya prauniversiti Tingkatan Enam ini masih di bawah Kementerian Pendidikan," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengumumkan lebih 30,000 pelajar Tingkatan 6 akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 yang sebelum ini hanya dinikmati murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum rungutan pelajar Tingkatan Enam yang sebelum ini tercicir daripada skim bantuan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

