Selat Melaka 'senjata' baharu maritim?

Kapal berlayar berhampiran deretan kapal yang berlabuh di perairan Singapura di pintu masuk Selat Melaka.
Kapal berlayar berhampiran deretan kapal yang berlabuh di perairan Singapura di pintu masuk Selat Melaka.
A
A
A

KETIKA Iran dan Oman mempertimbangkan cadangan mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui Selat Hormuz, perhatian dunia kini tertumpu kepada Selat Melaka yang semakin dilihat sebagai aset strategik dan 'senjata' geopolitik baharu Malaysia dalam landskap perdagangan maritim global.

Walaupun Selat Melaka tidak mengenakan bayaran transit kepada kapal, kepentingannya dalam rantaian bekalan dunia menjadikan laluan itu antara aset paling bernilai di Asia Tenggara.

Lebih 100,000 kapal menggunakan selat tersebut setiap tahun, membawa kira-kira satu pertiga perdagangan global termasuk sekitar 23 juta tong minyak sehari, sekali gus mengatasi jumlah minyak yang melalui Selat Hormuz sebelum konflik Asia Barat tercetus.

Kedudukan strategik itu meletakkan Malaysia bersama Singapura dan Indonesia sebagai tiga negara yang mengawal salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia.

Cadangan Iran dan Oman untuk mencontohi mekanisme pengurusan Selat Melaka bagaimanapun memperlihatkan betapa besarnya pengaruh laluan maritim itu di mata masyarakat antarabangsa.

Namun, pakar menegaskan kejayaan Selat Melaka bukan dibina atas kuasa mengenakan bayaran, sebaliknya hasil kerjasama serantau yang telah dipupuk selama beberapa dekad.

Pakar maritim dari Universiti Malaya, Nazery Khalid berkata, konsep sekatan atau penggunaan laluan tersebut sebagai alat tekanan politik tidak pernah menjadi pilihan kerana sebarang gangguan akan memberi kesan kepada semua negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

Malah, apabila seorang pegawai Indonesia mencadangkan levi ke atas kapal yang melalui Selat Melaka pada April lalu, Malaysia dan Singapura segera menolak cadangan itu.

Artikel Berkaitan:

Lebih 100,000 kapal menggunakan selat tersebut setiap tahun, membawa kira-kira satu pertiga perdagangan global termasuk sekitar 23 juta tong minyak sehari.
Lebih 100,000 kapal menggunakan selat tersebut setiap tahun, membawa kira-kira satu pertiga perdagangan global termasuk sekitar 23 juta tong minyak sehari.

Jadi model

Berbeza dengan Selat Hormuz yang menjadi satu-satunya pintu keluar masuk ke Teluk Parsi, kapal yang melalui Selat Melaka masih mempunyai laluan alternatif seperti Selat Lombok di Indonesia walaupun perjalanan menjadi lebih jauh dan kos operasi meningkat.

Di Selat Melaka, kapal juga tidak dikenakan bayaran hanya kerana menggunakan laluan tersebut.

Sebarang caj hanya dikenakan bagi perkhidmatan tertentu seperti bantuan kapal tunda, jurumudi dan navigasi di kawasan sempit berhampiran Singapura.

Model itu menjadikan Selat Melaka sebagai contoh bagaimana kepentingan strategik boleh dipelihara tanpa menjejaskan prinsip kebebasan pelayaran yang dijamin di bawah undang-undang maritim antarabangsa.

Dalam masa sama, kepentingan Selat Melaka semakin meningkat apabila hampir 80 peratus import minyak China bergantung kepada laluan berkenaan.

Kebergantungan itu menjadikan kestabilan perairan Malaysia bukan sahaja penting kepada ekonomi serantau malah turut mempengaruhi keselamatan tenaga dan perdagangan global.

Ketika ketegangan di Asia Barat terus mencetuskan ketidaktentuan terhadap masa depan Selat Hormuz, Selat Melaka kini semakin menyerlah bukan sekadar sebagai laluan perdagangan, malah sebagai aset strategik Malaysia yang mampu mempengaruhi keseimbangan ekonomi dan geopolitik dunia.

Walaupun Malaysia tidak menggunakan kedudukan tersebut sebagai alat tekanan terhadap negara lain, realiti baharu perdagangan antarabangsa menunjukkan Selat Melaka semakin diiktiraf sebagai antara 'senjata' maritim paling bernilai yang dimiliki negara dalam percaturan geopolitik abad ke-21.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!