Kewarganegaraan bukan sekadar tunjuk MyKad biru - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Menyuarakan semangat kepunyaan atau kebangsaan sebagai rakyat Malaysia tidak cukup sekadar tindakan simbolik memegang kad pengenalan biru semata-mata.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, status kewarganegaraan itu perlu dibuktikan melalui tindakan dan penyatuan terhadap agenda kebangsaan, bukannya sekadar retorik politik.

Beliau memberi peringatan bahawa majoriti penjenayah yang berada di dalam penjara atas pelbagai kesalahan ketika ini juga merupakan pemegang kad pengenalan biru.

"Apa guna kita bercakap berdegar-degar tentang 'saya anak Malaysia', sedangkan DAP masih tegar memperjuangkan sistem pendidikan luar seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan mengenepikan sistem pendidikan kebangsaan yang ada dalam negara.

"Apa guna bercakap berdegar-degar mengenai identiti nasional sedangkan suatu ketika dahulu pemimpin DAP pernah menggunakan bahasa Mandarin dalam urusan rasmi kerajaan, malah sejarah negara sendiri pun tidak difahami," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kenyataan beliau dipercayai merujuk kepada tindakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang menunjukkan kad pengenalannya baru-baru ini bagi menegaskan identiti dan semangat 'Anak Malaysia'.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli turut membangkitkan cadangan pimpinan DAP sebelum ini yang mahu silibus sejarah sekolah ditambah dengan memasukkan peranan parti berkenaan.

Selain itu, beliau turut mengungkit tindakan mengubah nama Jalan Temiang di Negeri Sembilan kepada nama pengasas DAP kebangsaan.

"Adakah negara dan semangat kebangsaan negara ini perlu mengikut acuan dan kehendak DAP?" soalnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan pendekatan dwistandard yang didakwa diamalkan DAP berhubung isu perpaduan dan politik kaum.

Jelas beliau, DAP kerap menuduh orang Melayu sebagai perkauman melampau apabila bersatu menolak Pakatan Harapan (PH), sedangkan pada masa sama parti itu menyeru orang bukan Melayu untuk bersatu menyokong koalisi berkenaan.

"Adakah ini perpaduan sebenar versi DAP?" soalnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!