Felda agih bantuan bernilai RM6.3 juta

Datuk Dr Othman Omar - Foto Sumber Internet
Datuk Dr Othman Omar - Foto Sumber Internet
A
A
A

SHAH ALAM - Bantuan keperluan makanan bernilai hampir RM6.3 juta telah diagihkan kepada hampir 70,000 keluarga peneroka membabitkan 317 Rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seluruh negara.

Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar berkata, agihan dibuat melalui Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) hasil inisiatif Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) bersama Jabatan Pembangunan Peneroka dan Komuniti (JPPK).

"Pencapaian PMKR setakat ini kerana usaha pelbagai pihak terutama JKPP, JPPK, Pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Kami Anak Felda (KAF) dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) yang mengendalikan inisiatif ini sejak PKP bermula pada pertengahan Mac 2020.

"Pengagihan sejumlah besar barangan asas ini tidak mungkin dijayakan tanpa sumbangan pelbagai pihak yang sentiasa bermurah hati untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Kami amat menghargai keprihatinan kerajaan Persekutuan yang telah mengumumkan pelbagai program bantuan Covid-19 untuk rakyat yang juga memanfaatkan golongan peneroka serta komuniti Felda secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau hadir di Pusat Komuniti Felda, Behrang untuk mengagihkan sumbangan makanan kepada peneroka yang terjejas sepanjang PKP.

Turut hadir Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil; Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Peneroka, Perladangan dan Komuniti; Anuar Malek dan beberapa wakil Felda.

Sumbangan bekalan makanan termasuk beras, gula, tepung gandum, sardin, kicap, telur dan minyak masak.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dr Othman, 90 peratus penerima terdiri daripada anak-anak peneroka yang bergantung kepada gaji harian dan tiada pendapatan atau mereka yang terpaksa pulang ke kampung selepas kehilangan pekerjaan manakala selebihnya diberi kepada peneroka.

“Untuk memastikan bekalan makanan yang berterusan, Felda akan terus berusaha mendapatkan sumbangan barangan asas dan kewangan,"katanya.

Orang ramai boleh bertanya PMKR di alamat emel jkk@felda.net.my atau ke Facebook Felda manakala untuk sumbangan boleh menghubungi Md Zulkifli Md Na’am (013-9813322) atau Sulong Jamil (012-2229012).