Penggera asap berbunyi, pengunjung diminta keluar bangunan

JOHOR BAHRU – Suasana di sebuah pusat beli-belah di bandaraya ini bertukar kecoh apabila pengunjung dan pekerja diarahkan mengosongkan bangunan selepas penggera asap berbunyi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kejadian berlaku apabila terdapat asap yang banyak di dapur sebuah kedai bakeri itu sehingga menyebabkan sistem pengesan asap itu berbunyi.
"Kami diberitahu oleh pihak pengurusan yang mana ada kejadian berlaku di bahagian dapur bakeri iaitu ketika sedang memasak menggunakan kaedah stim, secara tidak sengaja mengalami asap yang banyak sehingga menyebabkan sistem 'detector smoke' berbunyi.
"Pihak pengurusan pusat beli-belah itu terpaksa mengarahkan semua pelanggan keluar dari bangunan berkenaan," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, pemantauan awal ketika polis tiba di lokasi, keadaan sudah stabil dan semua pelanggan sudah dibenarkan masuk semula.
Bagaimanapun katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan semua dalam keadaan baik serta terkawal.
Terdahulu, tular video memaparkan keadaan pelanggan dan pekerja pusat beli-belah yang sedang bergerak ke arah kenderaan masing-masing bagi mengosongkan bangunan berkenaan.
Namun, menerusi video berkenaan, pemilik video tidak tahu punca dan alasan pengosongan bangunan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

