Malaysia selangkah capai status negara berpendapatan tinggi - Menteri

PERMATANG PAUH - Malaysia kini hanya selangkah lagi untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi mandat untuk menerajui negara bagi satu penggal lagi bagi meneruskan momentum pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian memberangsangkan termasuk peningkatan Pendapatan Negara Kasar (GNI) mengikut Kaedah Atlas Bank Dunia kepada AS$12,380 (RM50,640) pada tahun 2025, iaitu yang tertinggi sejak negara mencapai kemerdekaan.
Menurutnya, saiz ekonomi negara berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut meningkat kepada AS$472 bilion, sekali gus menjadi rekod tertinggi dalam sejarah negara.
“Ambang Bank Dunia bagi status negara berpendapatan tinggi untuk tahun kewangan 2027 ialah GNI per kapita sebanyak AS$14,000. Malaysia kini hanya selangkah lagi untuk mencapai status tersebut.
“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga, Malaysia berjaya menarik pelaburan asing kedua tertinggi dalam sejarah negara pada tahun 2025 berdasarkan World Investment Report 2026.
“Selain itu, ekonomi negara berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026, antara kadar pertumbuhan tertinggi dalam kalangan negara ASEAN,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini pada Sabtu.
Ramanan menambah, semua pencapaian tersebut berjaya direalisasikan dalam tempoh kurang empat tahun pentadbiran Kerajaan Madani.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sekadar melibatkan angka ekonomi sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat menerusi peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.
“Angka ekonomi yang baik tidak bermakna jika peluang dan kekayaan hanya dinikmati golongan tertentu manakala rakyat lain hanya menjadi penonton.
“Negara perlu memastikan setiap rakyat berpeluang meningkatkan kemahiran agar dapat menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh,” katanya.
Mengulas mengenai Minggu Latihan Kebangsaan, beliau berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia, pekerja, suri rumah dan pesara meningkatkan kemahiran masing-masing.
Beliau turut menegaskan kepentingan HRD Corp sebagai institusi yang mengurus pembangunan bakat negara serta amanah levi latihan majikan secara berintegriti.
Menurutnya, di Pulau Pinang sahaja, lebih 4,000 majikan berdaftar dengan HRD Corp melibatkan lebih 445,000 pekerja bagi separuh pertama tahun ini.
“Kutipan levi latihan di Pulau Pinang berjumlah RM129.72 juta dan daripada jumlah itu, RM113 juta telah disalurkan semula bagi tujuan meningkatkan kemahiran tenaga kerja di negeri ini.
“Dalam tempoh enam bulan, kita telah memperkukuh tadbir urus dan memperkenalkan sistem baharu bagi memastikan setiap sen levi dimanfaatkan sepenuhnya untuk latihan yang memberi manfaat kepada pekerja,” katanya.
Ramanan menambah, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja kerana pembangunan modal insan merupakan antara asas penting dalam memastikan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
