Dua syarikat AS saman pentadbiran Trump berhubung tarif baharu Seksyen 301

WASHINGTON - Dua syarikat kecil Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat memfailkan saman terhadap tarif baharu ke atas puluhan rakan dagang negara itu yang diumumkan pentadbiran Presiden Donald Trump sehari sebelumnya berhubung isu buruh paksa, menurut sebuah firma litigasi.
Liberty Justice Centre berkata, saman itu difailkan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS bagi pihak Burlap & Barrel, peruncit dalam talian yang berpangkalan di New York, dan Collective Horology, peruncit yang berpangkalan di California, lapor Agensi Berita Yonhap.
Tindakan itu diambil selepas Wakil Perdagangan AS (USTR) mengumumkan tarif baharu sehingga 12.5 peratus ke atas Korea Selatan dan beberapa ekonomi lain.
Tarif terbaharu itu dikenakan selepas USTR menjalankan siasatan terhadap 60 ekonomi mengikut Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 bagi menentukan sama ada negara berkenaan telah mengambil langkah mencukupi untuk melarang import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Tarif itu berkuat kuasa pada Jumaat, serentak dengan tamatnya tempoh tarif global 10 peratus pentadbiran Trump selama 150 hari.
Dalam aduan itu, USTR didakwa bertindak "sewenang-wenangnya dan tanpa pertimbangan munasabah” apabila mengenakan kadar tarif yang hampir seragam ke atas 60 ekonomi yang mempunyai perbezaan ketara, tanpa penjelasan berasaskan rekod mengenai bagaimana tarif berkenaan dapat menangani amalan yang dikenal pasti oleh badan itu.
Aduan itu turut mendakwa USTR gagal menjelaskan bagaimana pelaksanaan tarif ke atas produk berkenaan dapat mendorong kerajaan asing mengubah dasar import masing-masing.
Firma litigasi itu berkata, tarif baharu berkenaan turut meliputi import yang sah dan tidak mempunyai kaitan terbukti dengan buruh paksa, termasuk produk yang diimport oleh syarikat kecil AS menerusi rantaian bekalan yang telus dan bertanggungjawab.
"Buruh paksa tidak dapat dipertahankan dari segi moral, namun matlamat yang penting tidak memberi kerajaan kebenaran untuk mengabaikan undang-undang,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Liberty Justice Centre, Sara Albrecht.
"Pentadbiran membenarkan satu tarif global tamat tempoh dan segera menggantikannya dengan tarif lain mengikut undang-undang berbeza. Menukar undang-undang tidak mengubah batas kuasa yang ditetapkan.
"Setiap kuasa untuk mengenakan tarif mempunyai had dan setiap pentadbiran mesti menghormatinya,” katanya.
Firma itu merupakan organisasi sama yang mencabar tarif pentadbiran Trump yang dibatalkan Mahkamah Agung pada Februari.
Menjawab soalan pemberita sama ada tarif baharu AS mampu bertahan daripada penelitian undang-undang, Trump berkata, tarif berkenaan "telah lama dilaksanakan” dan "diluluskan sejak bertahun-tahun lalu”.
"Saya berpendapat keputusan Mahkamah Agung itu bukan keputusan yang baik,” katanya mengenai keputusan terhadap tarif pentadbirannya.
Trump mempertahankan dasar tarifnya dengan menegaskan bahawa langkah itu membantu menarik pelaburan.
"Sebahagian besarnya disebabkan tarif, sebanyak AS$19.2 trilion sedang dilaburkan di negara kita.
"Tanpa tarif, kita akan menghadapi masalah besar,” katanya ketika bercakap kepada media di Rumah Putih. - Bernama-Yonhap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
