Jalan ‘goyang dumang’ ke sekolah 31 murid

Keadaan jalan menuju ke SK Binanon, bertanah merah dan berlumpur.
Keadaan jalan menuju ke SK Binanon, bertanah merah dan berlumpur.
A
A
A

KENINGAU - Selepas tiga bulan kejadian sebuah blok bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Binanon musnah dalam kebakaran, penulis bersama sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Forces of Love (FoL) ke sekolah sejauh 120 kilometer di pedalaman Sook dekat Keningau.

Perjalanan seawal jam 5 pagi itu mengambil masa tiga jam setengah dengan keadaan jalan berbatu tanpa berturap, tanah merah dan berlumpur serta berlubang bagi tujuan menghantar sumbangan bahan pembelajaran.

Ada lubang yang dianggarkan melebihi setengah meter menyebabkan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki sentiasa bergoncang selain cabaran melalui jambatan kayu kecil.

Seorang penduduk yang ditemui ketika ditanya arah ke sekolah berkenaan hanya tersenyum sebelum berseloroh, nanti rasa juga ‘goyang dumang’.

Goyang Dumang berasal daripada tajuk lagu dangdut popular Indonesia oleh Cita Citata. Ia bermaksud jenis tarian riang gembira sambil mengoyang-goyangkan badan.

Rupa-rupanya, kata-kata itu bukan sekadar gurauan, sebaliknya menggambarkan realiti perjalanan yang dilalui penduduk di kawasan tersebut.

Tidak lama kemudian, aplikasi Google Maps yang menjadi panduan perjalanan tidak lagi dapat digunakan apabila liputan telekomunikasi terputus.

Tanpa capaian internet, penulis dan rombongan hanya bergantung kepada panduan penduduk serta beberapa mercu tanda sebelum tiba di sekolah tersebut yang hanya mempunyai 31 murid.

Suasana jauh berbeza kerana tiada riuh rendah murid berlari dan itu realiti sebuah sekolah yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).

Artikel Berkaitan:

“Kami lima orang saja,” kata seorang murid ketika ditanya jumlah rakan sekelas.

Guru Besar SK Binanon, Paing Dugat menunjukkan kesan kebakaran di bangunan yang memusnahkan lima ruang pembelajaran penting dan dua tangki air dalam kejadian April lalu.

Kegembiraan kesemua murid jelas kelihatan apabila wakil FoL, Then Chun Tak mengagihkan buku latihan dan bahan aktiviti sambil menikmati makanan ringan yang jarang diperoleh.

Chun Tak (kiri) mengagihkan buah tangan untuk murid-murid.
Chun Tak (kiri) mengagihkan buah tangan untuk murid-murid.

Bilik gerakan jadi kelas sementara

Bagi seorang guru, Aronniegary Enak @ Patrick Gari, 42, bertugas di pedalaman merupakan amanah yang terus dipikulnya sejak melapor diri pada penghujung 2011.

Guru berasal dari Limbang, Sarawak itu tidak pernah meminta untuk berpindah walaupun isteri dan anak-anaknya menetap di Kuching.

“Selagi saya masih diperlukan di sini, saya akan terus mengajar mereka,” katanya yang merupakan antara 12 guru bertugas di sekolah berkenaan.

Aronniegary berkata, insiden kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas memusnahkan dua bilik kelas, makmal sains, bilik Teknologi, Maklumat dan Komunikasi serta pusat sumber.

Menurutnya, bilik gerakan dijadikan kelas sementara bagi meneruskan sesi pembelajaran.

“Peranti untuk guru pula hanya tiga unit sahaja ketika ini, jadi kami bergilir-gilir menggunakannya.

“Memang banyak kekangan terutama apabila hendak menggunakan internet atau mengajar murid menggunakan komputer. Tapi kami tidak boleh berhenti mengajar,” ujarnya.

Guru tekad mencurahkan bakti di sekolah dikategorikan SKM di Sabah.
Guru tekad mencurahkan bakti di sekolah dikategorikan SKM di Sabah.

Bagi murid Tahun Enam, Heryin Herannie Patrick, belajar di sekolah yang hanya mempunyai enam murid dalam satu kelas bukanlah sesuatu yang membosankan.

“Senang juga sebab cikgu boleh bagi lebih perhatian dan kalau tidak faham, mudah kami bertanya,” katanya.

Rakannya, Suzirista Jamal mengakui sedih apabila berlaku kebakaran di sekolah itu.

“Banyak barang yang kami gunakan untuk belajar dan bersukan terbakar,” kongsinya.

390 SKM di Sabah tidak tercicir terima pendidikan berkualiti

Sebanyak 390 Sekolah Kurang Murid (SKM) di Sabah tidak tercicir daripada menerima pendidikan berkualiti walaupun kebanyakan terletak di pedalaman.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, guru yang disediakan mencukupi selain inisiatif pemerkasaan kompetensi guru bagi memastikan murid menikmati peluang pendidikan setara sekolah lain.

Raisin
Raisin

Ujarnya, pihak sekolah terutama guru besar turut diberikan latihan bagi mengurus pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran ketika guru menghadiri kursus supaya proses pembelajaran murid tidak terjejas.

“JPN juga sentiasa memberi penekanan terhadap Melindungi Masa Instruksional (MMI) supaya murid tidak pernah diabaikan daripada segi peluang untuk belajar walaupun berdepan kekangan tertentu.

“Jika terdapat murid beragama Islam di sesebuah SKM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama JPN akan berusaha memastikan guru Pendidikan Islam ditempatkan di sekolah berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu katanya, semua sekolah di Sabah kini mempunyai kemudahan talian internet bagi menyokong pelaksanaan pendidikan digital.

Mengulas pencapaian SKM, Raisin berkata, terdapat sekolah yang murid serta gurunya berjaya bersaing hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan dalam bidang akademik, kokurikulum serta sukan.

Beliau bagaimanapun mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan, namun JPN Sabah akan terus berusaha secara berterusan bagi menambah baik kemudahan serta mengatasi kekurangan yang ada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!