Dua anak Perak raih Golden Bull Awards 2026

Mossco (kanan) dan Subha menerima pengiktirafan berprestij pada Golden Bull Awards 2026.
Mossco (kanan) dan Subha menerima pengiktirafan berprestij pada Golden Bull Awards 2026.
A
A
A

BERASAL daripada keluarga sederhana tidak menghalang dua anak kelahiran Perak, Datuk Seri Mossco Woo Chin Teck dan Subha Sathiamoorthy Maraiah menempa kejayaan dalam dunia korporat sehingga menerima pengiktirafan berprestij pada Golden Bull Awards 2026.

Mereka kini menerajui sebuah syarikat tempatan yang beroperasi di peringkat antarabangsa sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif dengan penglibatan dalam sektor pembinaan, tenaga, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, telekomunikasi, infrastruktur serta perlombongan di Kelantan dan Sabah.

Pada majlis Golden Bull Awards 2026 yang berlangsung di ibu negara pada Khamis, Mossco menerima Super Golden Bull Award 2026, manakala Subha dinobatkan sebagai penerima Golden Bull Inspirational Entrepreneur Award 2026.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.

Berkongsi mengenai kejayaan syarikat, Mossco berkata, kepercayaan penuh terhadap rakan kongsi, komitmen tinggi serta dedikasi dalam melaksanakan setiap tanggungjawab menjadi tunjang kepada pertumbuhan perniagaan.

“Matlamat kami adalah untuk membangunkan sebuah lagi syarikat Malaysia yang berjaya tersenarai dalam Fortune 500 dunia,” katanya.

Sementara itu, Subha berkata, budaya kerja yang berteraskan perancangan strategik, inovasi dan penerapan teknologi baharu menjadi pemacu utama kejayaan syarikat.

“Motto kami mudah, 'plan your work and work your plan'. Kami sentiasa dahagakan inovasi, teknologi baharu dan mahu terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata, syarikat akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi telekomunikasi dan infrastruktur di Sabah, selain memperluaskan pelaksanaan projek tenaga hijau serta rangkaian gentian optik menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, katanya, syarikat turut bekerjasama dengan Kerajaan Kelantan bagi membangunkan sebuah makmal ujian perlombongan khusus untuk unsur nadir bumi (REE) dan emas.

Menurut beliau, makmal berkenaan dijangka menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang dilengkapi prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi ujian REE.

“Makmal ujian di Kelantan ini bakal menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mempunyai SOP khas bagi ujian REE. Ia merupakan satu pencapaian yang amat kami banggakan,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan yang diterima itu menjadi pemangkin untuk syarikat terus memperkukuh kedudukan dalam industri serta memperluaskan operasi ke peringkat global, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!