Peguam dakwa lagi kes buli berlaku di sekolah sama Zara Qairina

KOTA KINABALU - Peguam mewakili seorang remaja yang dikaitkan dengan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendakwa satu lagi kejadian buli berlaku di sekolah yang sama membabitkan pelajar lain.
Datuk Ram Singh berkata, beliau dimaklumkan insiden itu berlaku di sebuah sekolah agama di Kinarut, Papar membabitkan tiga pelajar yang didakwa membuli pelajar lain.
"Saya telah membaca kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah berhubung laporan polis yang saya buat dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas mereka.
"Bagaimanapun, saya dimaklumkan terdapat satu lagi kes buli di sekolah yang sama membabitkan tiga pelajar lelaki terhadap seorang pelajar lain.
"Laporan mengenai kejadian itu telah dibuat oleh bapa mangsa. Kes tersebut telah disiasat dan ketiga-tiga pelajar berkenaan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di Papar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau difahamkan bahawa kejadian itu berlaku pada 13 Mei lalu dan mahkamah baru-baru ini memerintahkan ketiga-tiga pesalah kanak-kanak terbabit menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam di sekolah yang sama.
Ram berkata, kejadian itu menimbulkan persoalan memandangkan prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina masih berlangsung, selain menyifatkan ia memberi gambaran terdapat kelemahan dalam sistem disiplin di sekolah berkenaan.
"Apa yang membimbangkan saya ialah mengapa kejadian seperti ini masih boleh berlaku sedangkan prosiding inkues berhubung kes Zara masih berlangsung.
"Saya tidak ragu-ragu bahawa terdapat sesuatu yang amat tidak kena dengan sistem disiplin di sekolah berkenaan.
"Guru-guru, warden, pengetua serta pegawai-pegawai sekolah telah pun disoal siasat mengenai pengurusan dan disiplin sekolah dalam prosiding inkues, namun kejadian seperti ini masih berlaku," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak pengurusan sekolah kerana keselamatan dan kebajikan pelajar merupakan tanggungjawab utama institusi pendidikan.
Beliau turut menyeru ibu bapa, guru dan masyarakat agar memainkan peranan dengan lebih serius bagi memastikan kanak-kanak dilindungi daripada sebarang bentuk kemudaratan di sekolah, selain tidak mendiamkan atau menghalang mereka daripada menceritakan apa yang berlaku sama ada di dalam atau di luar kawasan sekolah.
Katanya, usaha itu penting bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, guru dan pelajar, selain memaklumkan beliau akan membuat satu lagi laporan polis berhubung perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
