Remaja maut dipercayai terjatuh tingkat 68 Komtar

Mangsa disahkan meninggal dunia di Bangunan Kompleks Tun Abdul Rasak (Komtar). Foto JBPM
Mangsa disahkan meninggal dunia di Bangunan Kompleks Tun Abdul Rasak (Komtar). Foto JBPM
A
A
A

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut di Bangunan Kompleks Tun Abdul Rasak (Komtar), pada petang Jumaat.

Mangsa yang difahamkan berasal dari negeri ini ditemukan di atas bumbung aras enam bangunan berkenaan.

Ketua Zon 1 Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba I Jamil Abdullah @ Othman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.17 petang. Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai bersama sebuah jentera LFRT tiba di lokasi pada jam 4.25 petang.

“Sebaik tiba, komander operasi membuat penilaian awal dan mendapati mangsa berada di atas bumbung aras podium.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi membawa turun mangsa menggunakan sistem tali serta pengusung kerana kedudukan mangsa yang berada di lokasi tinggi dan sukar diakses,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi turut berdepan cabaran apabila permukaan bumbung yang licin akibat hujan menyukarkan pergerakan anggota.

“Seramai lima anggota dikerahkan naik ke bumbung bagi menjalankan kerja-kerja menurunkan mangsa dengan selamat.

“Mangsa berjaya dibawa turun sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan KKM di lokasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pemeriksaan turut menemui tiket masuk serta gelang pas masuk ke sebuah pusat tumpuan pengunjung di tingkat 68 namun punca kejadian masih dalam siasat polis.

"Operasi yang turut dibantu polis dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.09 malam," katanya lagi.

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat. Foto JBPM
Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat. Foto JBPM

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala serta hampir keseluruhan anggota badannya.

"Polis menerima maklumat awam mengenai kejadian itu pada jam 4.05 petang.

"Siasatan di lokasi mendapati mangsa, seorang warga tempatan dari kawasan Macallum ditemukan di atas bumbung aras enam bangunan Komtar dalam keadaan berpakaian lengkap.

Tambahnya, siasatan setakat ini tidak menemui sebarang unsur jenayah dan polis telah membuka Laporan Mati Mengejut bagi menyiasat kejadian itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!