Mahkamah halang bekas presiden, 2 bekas Exco guna jawatan dalam Persatuan Kriket Malaysia

 Mohammed Iqbal Ali
Mohammed Iqbal Ali
A
A
A

PERSATUAN Kriket Malaysia (MCA) memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi bagi menghalang bekas Presidennya, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali, serta dua bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) daripada terus mengaku atau bertindak sebagai pemegang jawatan dalam persatuan itu.

Perintah yang dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu adalah susulan penghakiman Mahkamah Tinggi yang diputuskan oleh Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan pada 29 Jun lalu.

Dalam perintah berkenaan, Mohammed Iqbal dinamakan sebagai defendan pertama, manakala dua bekas exco, Dr Arun Kumar Beshamber Nath dan Amarjeet Singh masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Mahkamah memerintahkan supaya Mohammed Iqbal dihalang daripada mengangkat dirinya sebagai presiden atau anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Kriket Malaysia serta daripada menjalankan sebarang kuasa atau fungsi yang berkaitan dengan jawatan tersebut.

Perintah itu turut melarang defendan pertama daripada bertindak melalui pekerja, ejen, wakil, nomini atau mana-mana pihak lain bagi tujuan sama.

"Selain itu, mahkamah mengarahkan ketiga-tiga defendan mematuhi perintah berkenaan, dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil bagi memastikan pematuhan terhadap perintah mahkamah," kata perintah itu.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar kos sebanyak RM15,000 kepada plaintif.

Pada 29 Jun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa peletakan jawatan Mohammed Iqbal sebagai Presiden MCA serta Dr Arun Kumar dan Amarjeet Singh sebagai Exco adalah sah dan berkuat kuasa.

Mahkamah memutuskan bahawa ketiga-tiga individu terbabit telah tamat memegang jawatan masing-masing dalam persatuan dan tidak lagi mempunyai sebarang kedudukan rasmi dalam MCA.

Artikel Berkaitan:

Dalam penghakiman sama, Mahkamah Tinggi turut mendapati tiada sebarang cabaran dikemukakan terhadap kesahihan Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan pada 13 April 2025 dan Mesyuarat Agung Dwitahunan pada 27 April 2025.

Mahkamah juga memutuskan cubaan ketiga-tiga individu berkenaan untuk menarik balik peletakan jawatan mereka telah ditolak oleh persatuan, dengan keputusan itu dimaklumkan menerusi surat rasmi bertarikh 23 April 2025.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!