Pembedahan robotik ubah landskap rawatan penggantian lutut

A
A
A

No Image Caption

KUALA LUMPUR - Kesakitan lutut akibat osteoartritis bukan sekadar menyebabkan pergerakan terhad, malah boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit terutamanya warga emas sehingga menyukarkan aktiviti harian seperti berjalan jauh, menaiki tangga dan beriadah.

Kesakitan ini merupakan penyakit kehausan tulang rawan yang lazim berlaku dalam kalangan warga emas, terutama mereka yang berusia melebihi 50 tahun.

Antara faktor yang meningkatkan risiko penyakit itu ialah peningkatan usia, berat badan berlebihan serta sejarah kecederaan lama seperti kemalangan atau kecederaan sukan.

Namun tidak semua pesakit osteoartritis memerlukan pembedahan kerana pelbagai rawatan konservatif akan dicuba terlebih dahulu.

Antara pendekatan yang sering disyorkan termasuk pengurangan berat badan, pengambilan ubat anti radang, fisioterapi, suplemen seperti glukosamin, suntikan asid hyaluronik, terapi sel stem serta rawatan pengurusan kesakitan menggunakan teknologi radiofrekuensi.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Perunding Pakar Ortopedik, Hospital Columbia Asia Cheras, Dr Azfar Rizal Ahmad berkata, kebanyakan pesakit akan menjalani rawatan konservatif sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pembedahan dipertimbangkan.

“Penggantian lutut atau Total Knee Replacement (TKR) merupakan pilihan terakhir apabila kesakitan semakin serius, pergerakan menjadi sangat terhad dan semua rawatan lain tidak lagi memberi kesan memuaskan.

“Seiring perkembangan teknologi masa kini, pembedahan dengan bantuan robotik memainkan peranan penting dalam rawatan masalah lutut kronik, khususnya bagi pesakit osteoartritis yang memerlukan rawatan ini.

“Penggunaan sistem robotik dalam TKR bukan bertujuan menggantikan peranan doktor, sebaliknya membantu pakar bedah melakukan prosedur dengan tepat,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

DR AZFAR
DR AZFAR

Menurut Dr Azfar Rizal, masih ramai masyarakat yang salah faham dengan menganggap pembedahan robotik dilakukan sepenuhnya oleh robot tanpa campur tangan manusia.

Beliau menjelaskan, istilah yang lebih tepat ialah Robotic Assisted Knee Replacement dengan pakar bedah masih melakukan pembedahan, manakala sistem robotik bertindak sebagai panduan yang membantu proses perancangan dan pelaksanaan pembedahan dengan tepat.

“Sebelum pembedahan dilakukan, sistem robotik membolehkan pemetaan digital lutut pesakit dibuat bagi membantu pakar bedah merancang saiz implan, jumlah tulang yang perlu dipotong serta tahap pembetulan penjajaran lutut.

“Teknologi robotik menawarkan tahap ketepatan yang tinggi,” jelasnya.

Tempoh pemulihan singkat, hampir sifar kesalahan

Mengulas lanjut mengenai rawatan osteoartritis, Dr Azfar Rizal berkata, pembedahan melibatkan robotik memberi kelebihan ketara kepada pesakit yang mempunyai kecacatan penjajaran lutut tahap teruk.

Menurut beliau, sistem tersebut membolehkan pemetaan digital lutut dilakukan sebelum pembedahan bagi menentukan saiz implan yang sesuai, jumlah tulang yang perlu dipotong serta tahap pembetulan penjajaran lutut.

Beliau menjelaskan, teknologi robotik menawarkan tahap ketepatan tinggi serta mengurangkan risiko potongan berlebihan, selain hampir sifar kesalahan.

“Apabila trauma pada tisu lembut dapat diminimumkan, pesakit biasanya mengalami kurang kesakitan selepas pembedahan dan proses pemulihan menjadi cepat.

“Malah, terdapat pesakit yang sudah boleh berjalan seawal hari pertama atau hari kedua selepas menjalani pembedahan robotik,” katanya.

Berpotensi jadi standard baharu

No Image Caption

Dalam perkembangan sama Dr Azfar Rizal berpandangan, pembedahan robotik berpotensi menjadi standard baharu dalam rawatan penggantian lutut pada masa hadapan berikutan kualiti hasil pembedahan yang baik.

Namun beliau mengakui faktor kos masih menjadi cabaran utama yang boleh memperlahankan penggunaan teknologi tersebut secara meluas.

“Hospital kerajaan, universiti dan sektor swasta sudah mula menggunakannya.

“Cuma faktor kos masih menjadi kekangan untuk menjadikannya lebih mudah diakses oleh semua pesakit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pesakit yang mengalami masalah lutut kronik supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih serta berbincang dengan pakar sebelum membuat keputusan.

“Lihat semula kualiti hidup yang sedang dilalui. Jika kesakitan sudah mengganggu pergerakan dan aktiviti harian, jangan takut untuk mendapatkan penilaian dan pandangan profesional,” ujarnya.

Hospital Columbia Asia Cheras menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran termasuk Bedah Saraf, Ginekologi Onkologi, Pembedahan Trauma Ortopedik, serta Pembedahan Payudara dan Endokrin. Dengan sokongan pasukan profesional penjagaan kesihatan yang berkemahiran tinggi daripada pelbagai disiplin.

Hospital Columbia Asia Cheras juga menyediakan rawatan pakar yang menyeluruh merangkumi semua bidang kepakaran, sekali gus memastikan pesakit menerima penjagaan komprehensif di setiap peringkat rawatan.

Sejak mula beroperasi pada tahun 2011, Hospital Columbia Asia Cheras komited dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi yang mudah diakses kepada komuniti di Cheras Selatan serta kawasan sekitarnya seperti Balakong, Sungai Long dan Kajang.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, hospital ini terus memperluaskan kemudahan serta melabur dalam penambahbaikan perkhidmatan dan infrastruktur bagi memastikan pesakit serta keluarga mereka mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang menyeluruh demi kesejahteraan dan kualiti hidup yang lebih baik.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesihatan tulang belakang dan pilihan rawatan yang ditawarkan, kunjungi Hospital Columbia Asia Cheras atau dapatkan nasihat daripada pakar tulang belakang yang bertauliah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!