Ditumbuk pengiring VVIP: Pemandu e-hailing OKU saman lima pihak termasuk PDRM, Kerajaan Malaysia

Selepas dua tahun kejadian ditumbuk seorang pengawal pengiring kenamaan (VVIP), seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi di sini.
Selepas dua tahun kejadian ditumbuk seorang pengawal pengiring kenamaan (VVIP), seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi di sini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun kejadian ditumbuk seorang pengawal pengiring kenamaan (VVIP), seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) pendengaran memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi di sini.

Ong Ing Keong, 49, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 10 Julai lalu menerusi firma guaman Messrs Daim & Gamany terhadap lima pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia

Plaintif menamakan Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail, 34; Inspektor Che W Hashimi Rafsanjani Che W Raksan, 33; Ketua Polis Kuala Lumpur; Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima.

Menurut penyataan tuntutan, plaintif mendakwa telah ditekan supaya menarik balik laporan polis serta memadam rakaman video kejadian.

Video tular kejadian dua tahun lalu.
Video tular kejadian dua tahun lalu.

Katanya, kejadian berlaku pada 28 Mei 2024 ketika mengambil penumpang di luar sebuah hotel di ibu negara.

Plaintif mendakwa, ketika itu penumpangnya sedang masuk ke dalam kenderaan, namun didatangi sebuah kenderaan lain yang berhenti berdekatan sebelum seorang individu mengarahkannya supaya beredar menggunakan isyarat tangan.

Selepas semua pintu keretanya ditutup, Ing Keong mengaku telah bersedia untuk bergerak, namun defendan pertama tiba-tiba menumbuk mukanya melalui tingkap kereta yang terbuka tanpa sebarang provokasi.

Artikel Berkaitan:

Plaintif kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Travers pada jam 1 tengah hari sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama.

Bagaimanapun, Ing Keong memberitahu telah kembali ke balai sama pada jam 5 petang dan mendakwa telefon bimbitnya diambil oleh pihak polis tanpa alasan yang sah.

Plaintif turut mendakwa, telefon bimbitnya hanya akan dipulangkan sekiranya menarik balik laporan polis dan memadam rakaman video kejadian.

Kemudian plaintif mendakwa telah dibiarkan menunggu selama beberapa jam tanpa diberikan akses kepada jurubahasa bahasa isyarat.

“Pada jam 9 malam pada hari sama, defendan kedua menekan supaya saya menarik balik laporan polis dan menerima pampasan sebanyak RM800 dengan menyatakan telefon bimbitnya akan dirampas sekiranya enggan berbuat demikian,” dakwanya.

Bagaimanapun, plaintif berkata, selepas berbincang dengan rakan-rakan pada keesokan hari, beliau memaklumkan kepada pihak polis supaya siasatan diteruskan.

Susulan itu, plaintif menuntut ganti rugi am terhadap defendan pertama untuk serangan, serang sentuh, dan kecuaian sementara defendan kedua bagi kes salah laku jawatan awam.

Plaintif turut menuntut deklarasi bahawa defendan ketiga, keempat dan kelima telah melanggar kewajipan statutori di bawah Akta Polis 1967 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

“Ia termasuk injunksi mandatori dengan mengarahkan pihak polis menyediakan akses kepada jurubahasa BIM di balai polis itu dan di seluruh Malaysia dalam tempoh 60 hari.

“Saya juga menuntut gantirugi teruk dan teladan terhadap kesemua defendan atas tindakan yang berniat jahat, dan menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Plaintif berkata, tuntutan dibuat kerana mendakwa telah diserang secara sengaja dan tidak sah.

Katanya, berlaku kecuaian dalam menjalankan tugas, termasuk gagal mengikut prosedur perlindungan, tidak memakai pakaian seragam yang boleh dikenal pasti, dan tidak menunjukkan kad kuasa.

Selain itu plaintif mendakwa berlaku tindakan melampau dan sewenang-wenangnya iaitu tindakan plaintif pertama menumbuknya tanpa provokasi.

Plaintif mendakwa berlaku salah laku jawatan awam kerana menekannya supaya menarik balik laporan polis.

“Defendan ketiga, keempat dan kelima selaku majikan atau principal, perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan defendan pertama dan kedua.

“Ia termasuk pelanggaran kewajipan statutory iaitu gagal memastikan prosedur polis dipatuhi dan gagal menyediakan kemudahan komunikasi (jurubahasa isyarat) bagi OKU di balai polis, yang bertentangan dengan Seksyen 30 Akta OKU 2008,” katanya.

Pada 4 November 2024, Sinar Harian melaporkan, Muhammad Taufik didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini. selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Ing Keong, di hadapan sebuah hotel di sini pada jam 11.40 pagi, 28 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!