'Sebak lihat wajah anggota polis seiras arwah adik'

Wajah anggota polis yang tular dI laman sosial. (gambar kanan) Allahyarham Abd Jalil
Wajah anggota polis yang tular dI laman sosial. (gambar kanan) Allahyarham Abd Jalil
A
A
A

LUMUT - Seorang abang tidak dapat menahan rindu apabila melihat wajah anggota polis yang tular bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iras wajah adiknya, Abd Jalil Mohd Razak yang meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Ismail, 42, berasal dari Nibong Tebal berkata, gambar wajah polis itu ditemui oleh isterinya di Facebook dan dikongsi kepadanya.

"Saya pada awalnya terkejut, sebak kali pertama melihat gambar polis itu, ibarat pelanduk dua serupa. Wajah mereka seiras kalau sekali pandang.

"Memang terkenang kembali arwah adik kerana saya adalah orang pertama menerima berita kematiannya.

"Arwah waktu itu berusia 19 tahun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 1 Mei 2013 di Perai.

"Saya pergi ke hospital Seberang Jaya menguruskan jenazah, siap mandi dan kafan, baru bawa balik rumah di kampung Che Isa, Nibong Tebal," katanya kepada Sinar Harian.

Allahyarham Abd Jalil membantu keluarga berniaga di pasar malam.
Allahyarham Abd Jalil membantu keluarga berniaga di pasar malam.

Allahyarham merupakan anak kelima dari enam beradik itu disifatkan seorang yang baik hati, ringan tulang membantu ahli keluarga menguruskan perniagaan pasar malam.

Artikel Berkaitan:

"Dia paling rapat dengan ibu ayah, sebab dia bantu keluarga berniaga kacang rebus di pasar malam.

"Ramai orang ziarah jenazah arwah beritahu benda sama, dia hormat orang tua dan suka bantu," katanya.

Bercerita lanjut, dia berharap agar dapat bertemu dengan anggota polis yang dipercayai bertugas di Seberang Perai.

"Besar harapan saya untuk bertemu polis itu, kami pun telah berhubung antara satu sama lain. Jika ada rezeki dapat saya bawa berjumpa ibu di kampung. Terubat jua rasa rindu dengan adik.

"Insya-ALLAH jika tamat PKP, ada rezeki, kami akan berjumpa," katanya.

Setiap kali pulang ke kampung, Ismail akan menziarahi kubur arwah adiknya di Kampung Che Isa.
Setiap kali pulang ke kampung, Ismail akan menziarahi kubur arwah adiknya di Kampung Che Isa.