Rafizi ingatkan ugutan emosi ada tarikh luput

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Strategi politik yang bergantung kepada ugutan emosi (emotional blackmail) setiap kali pilihan raya mempunyai 'tarikh luput' apabila pengundi semakin kebal terhadap naratif berasaskan ketakutan.

Presiden Parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pengundi bukan Melayu sering diberitahu supaya bersatu di belakang DAP dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghalang UMNO, manakala pengundi Melayu pula diminta menyokong UMNO, Pas dan parti-parti Melayu lain bagi menghalang DAP serta PH.

Menurutnya, strategi yang digunakan oleh kedua-dua blok politik untuk meraih sokongan berasaskan ugutan emosi tersebut akhirnya akan mencapai tahap 'law of diminishing returns', iaitu kesannya semakin berkurangan apabila diulang berkali-kali.

"Sekarang BN pula membawa naratif yang sama. Jom bersatu. UMNO, Pas, Bersatu, Wawasan. Asalkan tiada DAP. Asalkan tiada PH. Mungkin mereka boleh menang.

"Tetapi kemenangan yang bergantung kepada ugutan emosi tidak akan bertahan lama.Sebab manusia akan sampai satu tahap, mereka mula kebal dengan ketakutan yang sama.Ugutan emosi ada tarikh luput," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Rafizi memaklumkan, keadaan itu menjadi antara faktor utama penubuhan Bersama yang bertujuan menawarkan alternatif kepada budaya politik yang sering menggunakan ugutan emosi bagi meraih sokongan rakyat.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu, PH dalam satu bentuk atau yang lain telah menjadi kerajaan hampir lapan tahun kecuali sepanjang tempoh 2020 hingga 2022.

"Bila dah lama jadi kerajaan, moral 'high ground' itu semakin hilang. Tambah pula dengan pelbagai kontroversi termasuk isu korporat mafia dan rasuah," ujarnya lagi.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan naratif seperti "kalau tidak undi kami, Najib akan kembali" atau "kalau tidak undi kami, Rosmah akan kembali" juga semakin kurang berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Sampai satu ketika, pengundi pun akan tanya.Apa bezanya?," soal beliau lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!