8 ahli sindiket dadah termasuk remaja diberkas, RM3.04 juta dadah dirampas

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan lapan individu termasuk seorang remaja berusia 16 tahun dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada 18 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan yang bermula kira-kira jam 9 malam itu membawa kepada rampasan 50 paket plastik berisi dadah disyaki methamphetamine seberat 60.78 kilogram (kg) bernilai RM3.04 juta.
Beliau berkata, operasi hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu turut menahan tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 78 tahun.
“Serbuan pertama dilakukan di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah hotel di Johor Bahru yang membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Perodua Bezza milik datuk kepada remaja terbabit menemukan 50 paket plastik yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 60.78kg,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, serbuan susulan di hotel sama kemudian membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki tempatan, namun tiada sebarang dadah ditemukan.
Ab Rahaman berkata, siasatan awal mendapati remaja terbabit bersama seorang lelaki warga asing berperanan sebagai penghantar dadah, manakala seorang lagi bertindak sebagai 'runner'.
“Dua individu lain pula dipercayai orang kanan kepada suspek ketujuh yang membantu menguruskan operasi sindiket.
“Suspek ketujuh yang berusia dalam lingkungan 50-an dikenal pasti sebagai ketua sindiket, manakala suspek kelapan dipercayai perancang utama yang mengatur keseluruhan operasi,” katanya.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal Mei lalu dengan menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Katanya, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu digunakan oleh seramai 303,900 penagih.
Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata, hasil semakan mendapati remaja terbabit bukan pelajar dan telah tercicir daripada persekolahan sejak Januari 2025.
“Polis mengingatkan ibu bapa supaya mengambil berat aspek pemantauan terhadap anak-anak agar mereka tidak terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
“Jika ditangkap dan didakwa, ia boleh menjejaskan masa depan golongan ini,” katanya.
Tambah beliau, tiga suspek termasuk remaja terbabit didapati positif methamphetamine berdasarkan hasil ujian saringan air kencing, manakala lima lagi negatif.
Semakan rekod lampau pula mendapati empat suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita aset bernilai RM100,162 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan sebuah Toyota Camry, Proton Saga serta pelbagai barang kemas.
Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan bernilai RM3.14 juta.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 19 Julai hingga 25 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

